Pengguna Duke gempar wanita berdiri di jejambat, ‘mengamuk’ mahu terjun

Wanita terbabit berjaya diselamatkan dan ditenangkan, sebelum tindakan lanjut diambil

9:27 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengguna Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) ‘gempar’ apabila terlihat seorang wanita berdiri di jejambat laluan itu dan cuba terjun dalam kejadian petang semalam.

Wanita itu yang berpakaian kemeja-t lengan pendek warna putih serta berseluar panjang merah jambu bercorak batik, berjalan dan duduk di jejambat berkenaan dengan memegang sesuatu di tangan dipercayai sebatang besi halus panjang.

Susulan kejadian terbabit, anggota pasukan Alpha Titiwangsa, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan unit trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergegas ke lokasi selepas menerima laporan.

Menurut kenyataan BBP Titiwangsa, kejadian pada jam 2.28 petang itu berlaku di arah susur keluar Bulatan Pahang Duke.

Bagaimanapun, wanita terbabit berjaya diselamatkan dan ditenangkan, sebelum tindakan lanjut diambil.

“Alhamdulillah mangsa berjaya dipujuk dan diselamatkan pasukan bertugas dengan bantuan dari orang awam di lokasi kejadian.

“Mangsa diserahkan kepada pihak PDRM dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, video dan foto kejadian itu tular di media sosial sejak malam tadi.

Menerusi satu video, dipaparkan seorang lelaki dipercayai orang awam berdiri di penghadang lebuh raya berkenaan dan memujuk wanita terbabit yang mengamuk serta menjerit.

Ketika wanita itu sedang memandang ke arah lain, lelaki terbabit secara perlahan-lahan terus melompat dan memegangnya, sebelum individu lain turut ‘menahannya’ daripada bertindak agresif.

Mereka kemudian mengangkat wanita itu yang kelihatan lemah ke tepi lebuh raya, sebelum dia ditenangkan anggota bomba.

Rata-rata netizen memberikan pandangan masing-masing, termasuk bersimpati dengan wanita itu.

Malah, sebahagian memuji tindakan pantas dan berani lelaki yang menyelamatkannya.

Ada juga menyifatkan rakyat Malaysia sememangnya prihatin dan cepat membantu apabila seseorang dilanda musibah.

“Kesiannya dia mesti tak sedar pun dia kat situ, gaya halusinasi pun ada, sebab tu kita jangan pandang serong dan rendah kat orang yang ada mental illness (masalah kesihatan mental), depression (depresi). Diorang pun tak minta sakit tu jadi kat diorang. So, be kind to everyone (berbuat baik kepada setiap orang) ye semua,” kata @notran633m.

“Terima kasih orang-orang baik sebab selamatkan dia, semoga tuhan balas jasa kalian,” tulis @lyflssbtch.

“Kepada rakyat Malaysia rajin-rajinlah ambil tahu pasal orang, bukan menyibuk tapi ambil tahu hal macam ini, kadang kita tak tahu apa terpendam dalam diri seseorang itu, borak dengan dia, happy kan (gembirakan) dia, masukkan aura positif dekat orang, satu aura positif yang masuk akan ubah segalanya,” ujar @NabilRuslim.

“Tolong kurniakan adik ini pingat keberanian,” kata @bozzrool

“Dah lah tinggi, silap percaturan sikit boleh patah tulang, lumpuh atau paling terus mati, alhamdulillah semua selamat,” menurut @blushpinkpeonyy.

“Patutlah lalu highway ni petang tadi ramai orang dan ada polis serta ambulans datang, sebab tengok tak ada kemalangan pun,” komen seorang individu.

“Janganlah beri kata-kata negatif. Saya pernah berada dalam situasi ini, rasa nak terjun dari tingkat 17 sebab dengar suara yang paksa saya terjun, tapi bila kawan datang tap (sentuh) bahu saya macam terus tersedar…sebab tu kalau boleh elakkan duduk seorang,” luah netizen lain. – 8 Jun, 2024

Jika anda atau sesiapa yang anda kenali perlukan bantuan, sila hubungi nombor yang tertera untuk mendapatkan bantuan profesional:

Befrienders KL: 03 7927 2929 (24/7)

Talian Kasih: 15999 (24/7), 019 261 5999

Mercy Malaysia: 03 2276 2116

All Women’s Action Society: 016 237 4221

Malaysian Mental Health Association: 03 2780 6803

Miasa: 1-800 18 0066 03 9765 6088

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Evacuation ordered after bomb threat at Tourism Ministry complex in Putrajaya

Police bomb squad, Fire Dept at scene after suspect package delivered to building

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related