50% jemaah haji Malaysia akan laksana Nafar Awwal

Jemaah haji Malaysia mula bergerak secara berperingkat ke Arafah pada 14 Jun untuk bersama 3 juta umat Islam dari seluruh dunia menjalani ibadah wukuf yang merupakan kemuncak haji

7:33 PM MYT

 

MAKKAH – Sebanyak 50% daripada 31,600 jemaah haji Malaysia akan melaksanakan Nafar Awwal iaitu melontar jamrah pada dua daripada tiga hari tasyrik, manakala separuh lagi Nafar Thani (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik).

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, langkah itu dilakukan bagi mengurangkan kesesakan di Mina dan melancarkan pergerakan jemaah haji pulang ke penginapan di Makkah.

“Sebanyak 10 buah bas akan disediakan untuk setiap maktab bagi pergerakan balik jemaah ke Makkah sebaik selesai melaksanakan melontar jamrah ada 12 Zulhijah (Nafar Awwal).

“Manakala 10 buah bas lagi akan digunakan selepas selesai melontar pada hari 13 Zulhijah (Nafar Thani) bagi membawa pulang jemaah ke maktab masing masing di Makkah,” katanya dalam sidang akhbar mingguan di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua jemaah haji Malaysia akan mula bergerak secara berperingkat ke Arafah pada 8 Zulhijah (14 Jun) iaitu hari Jumaat untuk bersama-sama hampir tiga juta umat Islam dari seluruh dunia bagi menjalani ibadah wukuf yang merupakan kemuncak haji pada 9 Zulhijah (15 Jun).

Pergerakan itu katanya akan bermula pada 6 pagi, lewat pagi serta selepas solat Jumaat dengan 20 bas disediakan untuk kegunaan setiap maktab.

Syed Saleh berkata, pergerakan dari Makkah ke Arafah sejauh hampir 22 kilometer itu dijangka mengambil masa antara satu hingga dua jam bergantung kepada lalu lintas, ditambah banyak laluan di sekitar Masjidil Haram akan ditutup sejak pagi lagi untuk solat Jumaat dan hanya dibuka kembali pada sebelah petang.

“Pergerakan jemaah haji dari Arafah ke Muzdalifah yang melibatkan perjalanan lapan kilometer dan Muzdalifah ke Mina sejauh 6.9 kilometer pula akan dilaksanakan secara Taradudiah atau shuttle,” katanya.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, untuk tahun ini Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sekali lagi memberi Malaysia kelebihan untuk memilih waktu melontar bagi jemaah haji Malaysia bagi mengelak kesesakan. – Gambar Bernama, 7 Jun, 2024

Beliau berkata, pada masa yang sama, pergerakan itu juga akan melibatkan lebih 600 petugas haji dengan sebilangan daripada mereka akan bergerak sebagai kumpulan pendahulu pada 7 Zulhijah (13 Jun) untuk melakukan persiapan bagi menunggu ketibaan kumpulan pertama jemaah haji, manakala sebahagian lagi akan bergerak secara berperingkat.

“Sebilangan dari petugas kita juga akan tunggu di Makkah sehingga semua jemaah berlepas dan mereka akan melakukan semakan termasuk di bilik penginapan dan Masjidil Haram serta persekitarannya untuk memastikan tiada jemaah haji kita yang tertinggal untuk dibawa ke Arafah,” katanya.

Beliau berkata, bagi jemaah yang berada di wad hospital pula, TH telah menyediakan empat buah bas khas yang diubahsuai seperti ambulans untuk mengangkut jemaah yang sakit untuk berwukuf melalui program dinamakan Safari Wukuf.

Jemaah berkenaan akan dibawa ke Arafah selama dua jam dan selepas masuk waktu wukuf serta mendengar khutbah Arafah dibacakan oleh petugas haji, mereka akan dibawa semula ke Pusat Rawatan TH Makkah untuk meneruskan rawatan lanjut.

Sementara itu, Syed Salleh berkata, untuk tahun ini sekali lagi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memberi Malaysia kelebihan untuk memilih waktu melontar bagi jemaah haji Malaysia untuk mengelak kesesakan.

“Kita telah memilih untuk menjalankan ibadah melontar ini pada waktu malam iaitu 8 malam hingga 12 tengah malam untuk mengelakkan jemaah haji terdedah kepada cuaca terlalu panas dan untuk menghindar kesesakan kerana bilangan jemaah waktu ini agak kurang,” katanya.

TH juga akan menempatkan petugas di tempat-tempat tertentu sepanjang perjalanan menuju ke tempat melontar dan balik ke khemah bagi menjaga keselamatan dan memberikan bantuan kepada jemaah haji jika diperlukan.

“Bagi memudahkan lagi jemaah, pihak Masyariq turut menyediakan anak batu dalam satu uncang untuk diedarkan sebelum mereka bergerak ke Arafah supaya jemaah tidak lagi perlu untuk mengutip batu apabila berada di Muzdhalifah,” tambah beliau. – 7 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Ibu Zayn Rayyan dibawa ke mahkamah untuk rekod pengakuan: Polis

Ibu kepada Zayyan Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf dibawa ke mahkamah untuk direkod pengakuan di bawah Akta Keterangan 1950.

Related