Islam saran bersederhana dalam pemakanan, elak lebih gula, ia punca 54% dewasa obesiti

Jaipk menerusi khutbah hari ini turut menasihatkan individu mengamalkan pemakanan sihat, selain menjaga serta menghargai kesihatan kerana ia anugerah sangat berharga

8:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2024 mengenai faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dilancarkan pada 16 Mei lalu, melaporkan kadar kegemukan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat.

Kini dianggarkan 54% rakyat Malaysia dewasa berada dalam keadaan berlebihan berat badan (obesiti) yang berpunca daripada pengambilan gula secara berlebihan dalam makanan dan minuman.

Justeru, khutbah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) bertajuk ‘Kepentingan Pemakanan Sihat dan Bahaya Pengambilan Gula Berlebihan’ mengingatkan umat Islam menjaga kesihatan sebaik mungkin.

Katanya, usaha itu boleh dilakukan menerusi pemakanan sihat dan mengawal pengambilan gula dengan sebagai permulaan, mengurangkan bahan pemanis terbabit dalam minuman serta masakan di rumah.

Sekiranya menambahkannya dalam makanan, ujarnya, memadai dengan memasukkan hanya satu camca teh gula ke kawan kopi atau teh.

Khutbah Jaipk bertajuk ‘Kepentingan Pemakanan Sihat dan Bahaya Pengambilan Gula Berlebihan’ mengingatkan umat Islam agar menjaga pemakanan, apatah lagi dianggarkan 54% rakyat Malaysia dewasa mengalami obesiti berpunca daripada pengambilan gula secara berlebihan. – Gambar Scoop, 7 Jun, 2024

“Malah adalah lebih baik melatih diri meminum kopi serta teh tanpa gula, lebih baik lagi membiasakan diri untuk sekadar meminum air kosong. Disarankan untuk kita meminum antara 6 ke 8 gelas air kosong setiap hari.

“Di samping mengurangkan atau lebih baik memberhentikan pengambilan gula dalam minuman, kita juga harus memperbanyakkan pengambilan makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan sumber protein sihat.

“Pilihlah buah-buahan dan sayur-sayuran segar sebagai pencuci mulut, menggantikan kuih-muih, biskut atau kek yang kebiasaannya tinggi kandungan gula, garam serta lemak kerana ia bukan sahaja memberikan khasiat diperlukan tubuh, malah membantu menjaga kesihatan secara menyeluruh,” katanya.

Khatib berkata, umat Islam turut diingatkan menjadikan membaca kandungan maklumat pada produk makanan atau minuman serta memilih produk rendah kandungan gula sebagai amalan.

“Mengamalkan gaya hidup cergas dengan bersenam secara harian. Semoga dengan menjaga kesihatan, kita mendapat keredaan Ilahi, dapat menjalani kehidupan lebih sihat dan produktif, (sekali gus) membolehkan kita menunaikan pelbagai ibadah fardu ain dan fardu kifayah.

“Hadkan juga pengambilan produk makanan atau minuman yang gula disenaraikan sebagai ramuan pertama atau antara terawal dalam senarai ramuan pada label makanan,” katanya.

Masalah berat badan berlebihan juga menjadi faktor utama menyebabkan berlaku pelbagai penyakit kronik, termasuklah beberapa jenis penyakit kanser. – Gambar Jaipk, 7 Jun, 2024

Khutbah itu mengatakan, makanan baik adalah yang berkhasiat dan seimbang, memberikan tenaga serta kesihatan kepada tubuh, selain halal, suci, bersih dan baik.

Tegasnya, pengambilan makanan tidak seimbang dan berlebihan, terutama gula, boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.

Harus diingat katanya, gula sememangnya manis, namun ia juga boleh membawa pahit kehidupan apabila diambil secara berlebihan.

“Sedarilah! Banyak bahan makanan yang diproses, antaranya roti, bijirin dan sos mempunyai kandungan gula tersembunyi, malah kebanyakan masakan kegemaran rakyat Malaysia, juga mengandungi gula berlebihan.

“Gula berlebihan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti kencing manis, serangan jantung, dan tekanan darah tinggi.

“Kegemukan juga menjadi faktor utama menyebabkan berlaku pelbagai penyakit kronik, termasuklah beberapa jenis penyakit kanser,” katanya.

Pengambilan gula dan makanan manis berlebihan juga menjadi penyebab kerosakan gigi dan penyakit gusi.

Malah, khatib berkata, karies gigi atau lebih dikenali sebagai gigi berlubang, terjadi apabila makanan tersekat dalam gigi rosak (berlubang) yang menjadi tempat pembiakan bakteria dan jangkitan, seterusnya menyebabkan sakit gigi serta keradangan gusi.

Jaipk dalam khutbah tersebut turut menyarankan orang ramai melatih diri meminum kopi serta teh tanpa gula, selain membiasakan diri untuk sekadar meminum air kosong. – Gambar Jaipk, 7 Jun, 2024

“Dianggarkan lebih 85 peratus rakyat Malaysia dewasa mengalami karies gigi,” katanya.

Mengulas lanjut, khatib berkata, Nabi Muhammad SAW mengajar umat Islam berhubung kepentingan kesederhanaan dalam semua perkara, termasuk membabitkan pemakanan.

“Kita tidak seharusnya makan sehingga terlalu kenyang, tetapi cukuplah dengan makan sekadar perlu untuk memberikan tenaga kepada tubuh badan.

“Kesihatan adalah anugerah sangat berharga dari Allah SWT, justeru marilah kita menghargai anugerah ini dengan menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat, mengambil berat mengenai bahaya pengambilan gula berlebihan serta berusaha mengurangkan pengambilannya dalam makanan dan minuman harian,” katanya. – 7 Jun, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related