KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membenarkan isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Naimah Abdul Khalid mendapatkan sementara pasportnya.
Kebenaran itu diberikan Hakim Azura Alwi bermula hari ini hingga 30 Jun depan susulan permohonan Naimah untuk mendapatkan pelepasan sementara bagi dokumen perjalanan berkenaan.
Permohonan itu adalah bagi membolehkan beliau menghadiri jemputan pameran seni Art Basel dari 10 Jun sehingga 16 Jun di Basel, Switzerland dan bertemu pihak berkepentingan dalam syarikatnya di Singapura, seperti dilaporkan media.
Terdahulu, peguam Naimah, M Puravalen memaklumkan anak guamnya memohon untuk mendapatkan sementara pasport itu yang disimpan mahkamah.
Dalam afidavit sokongan permohonannya, Naimah berkata, beliau akan pulang ke Malaysia pada atau sebelum 30 Jun ini dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sebaik tiba.
“Saya menyatakan bahawa alasan pemilihan tempoh ini adalah semata-mata kerana janji temu sudah ditetapkan mengikut ketersediaan pelbagai individu yang akan saya temui semasa perjalanan saya,” katanya.
Permohonan itu tidak dibantah pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Pada 19 Februari lalu, pendengaran kes permohonan Naimah mendapatkan semula pasport antarabangsanya ditunda apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkannya pada 13 Mac.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache mengarahkan hujahan bertulis difailkan pada 4 Mac, manakala 11 Mac ditetapkan untuk kedua-dua pihak berbalas hujahan.
Manakala, pada 22 Mac lalu, mahkamah sama menolak permohonan Naimah untuk mendapatkan kembali pasportnya secara kekal.
Dalam keputusannya, Ahmad Bache berkata, ia mempunyai risiko ‘flight risk’ serta tiada jaminan pemohon tidak melarikan diri ke luar negara. – 7 Jun, 2024