KUALA LUMPUR – Kemalangan melibatkan sebuah lori tangki yang membawa minyak kelapa sawit dengan lima kereta di Kilometer (km) 243, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara, dekat Senawang tengah hari tadi, masih mengakibatkan kesesakan sehingga sekarang dari Pedas Ke Senawang.
PLUS Malaysia Berhad menerusi akaun media sosialnya, memaklumkan sehingga jam 7.54 malam tadi, kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan masih dijalankan.
Ia juga mengakibatkan kesesakan teruk sehingga 25km disebabkan kerja-kerja mengalihkan lori tangki itu yang terbabas hingga melanggar pembahagi jalan.
“Lorong kanan arah Utara masih ditutup bagi kerja pembersihan. Trafik sesak 25km arah utara. Lorong kecemasan boleh dilalui di lokasi kemalangan. Sila rancang perjalanan anda dan pandu berhati-hati,’’ kata Plus dalam aplikasi X.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan pihaknya menerima laporan kemalangan pada 12.29 tengahari dan setibanya di lokasi kejadian, terdapat seorang lelaki berusia 30-an yang tersepit di bahagian pemandu, namun dia berjaya dikeluarkan oleh pasukannya.
Dalam pada itu, pengguna yang melalui laluan berkenaan menceritakan pengalaman mereka berdepan dengan kesesakan sehingga hampir tiga jam.
“Ini adalah pengalaman kali pertama tersangkut dalam kesesakan hampir tiga jam. Diharapkan semua pemandu dan penumpang akan berdepan kejadian sama masih berada dalam keadaan baik,’’ kata Sz Siew Yin menerusi akaun facebooknya.
Manakala Urban Ai pula meluahkan kebimbangan kerana minyak keretanya sudah hampir habis selepas tiga jam tersangkut dalam kesesakan tersebut.
Ada pula yang mendakwa lori tidak memberikan kerjasama kepada pemandu kereta untuk menggunakan lorong kecemasan yang diaktifkan susulan kemalangan itu.
“Pemandu lori sengaja menyekat laluan kecemasan dengan menghimpit ke sebelah kiri,’’ kata Cikgu Siti. – 6 Jun, 2024