KUALA LUMPUR – DAP menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) supaya tidak mengenakan sebarang syarat dalam pelaksanaan Progam Dwibahasa (DLP) bagi subjek Sains dan Matematik di sekolah.
Malah, kata pengerusinya, Lim Guan Eng, kebanyakan ibu bapa terutama orang Melayu mahu kedua-dua subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris seperti sebelum ini.
Beliau turut memberitahu, laporan sebuah laporan sebuah stesen televisyen yang mendakwa 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina di Pulau Pinang membantah pelaksanaan DLP sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar adalah tidak tepat dan menimbulkan kemusykilan dalam kalangan ibu bapa.
“Malangnya ada masalah di mana laporan ini telah menimbulkan kemusykilan kerana ada laporan tidak tepat sehingga beri gambaran mereka menentang bahasa pengantar bahasa Melayu. Itu tidak benar sama sekali.
“TV3 telah minta maaf atas kekhilafan. Isunya ialah DLP dalam bahasa Inggeris telah dilaksanakan tanpa syarat sebelum ini. Sebilangan besar ibu bapa terutama orang Melayu sendiri mahukannya.
“Biar ibu bapa tentukan, jika ibu bapa nak anak belajar dalam bahasa Inggeris. Saya harap DLP diajar tanpa gangguan atau tanpa syarat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 SMJK dan SMC di Pulau Pinang yang membantah pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, isu yang dibangkitkan kumpulan tersebut bukan perkara baharu dan disokong pemimpin pembangkang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
“Perkara ini telah ditimbulkan enam bulan lepas di mana bukan saja ibu bapa sekolah tersebut tetapi pelajar Melayu pun ada membuat tuntutan sama.
“Sewaktu zaman (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) kedua-dua subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris sekiranya ibu bapa buat pilihan serupa. Tiada sebarang syarat tambahan dikenakan.
“Tapi sekarang ada satu syarat mesti ada satu subjek dalam Bahasa Melayu. Ini menimbulkan masalah kerana susah nak cari satu kelas untuk sekolah tersebut. Malah, perkara ini mendapat sokongan semua pihak termasuk pembangkang,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap tiada pihak cuba mempolitikkan perkara tersebut kerana ia bukan isu raja, agama dan kaum (3R) tetapi isu pendidikan.
“Saya menghargai semangat Saifuddin yang menyokong pendirian saya iaitu kaedah lama (DLP) di bawah Muhyiddin. Biarlah ia diteruskan.
“Saya harap Bersatu janganlah menangguk di air keruh atau cuba politikkan isu ini. Rujuk kepada pemimpin mereka Saifuddin. Saya juga harap Ketua Pemuda Umno (Dr Muhamad Akmal Saleh) pun sama.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi, ini bukan isu menentang Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah, tapi isunya (mahu) DLP dalam bahasa Inggeris dilaksanakan tanpa syarat seperti sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Buletin TV3 menerusi laman webnya memohon maaf atas kesilapan laporan mengenai isu pengajaran Sains dan Matematik di beberapa sekolah di Pulau Pinang, semalam.
Ia memaklumkan, laporan berkenaan memuatkan tajuk tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan serta tindakan menarik balik laporan terbabit sudah diambil. – 6 Jun, 2024