Ancaman bom di bangunan Motac disahkan palsu

Siasatan awal mendapati bungkusan berisi bahan letupan menyerupai bom itu dialamatkan ke pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di tingkat 14

7:00 PM MYT

 

PUTRAJAYA — Polis mengesahkan ancaman bom di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) di sini, hari ini sebagai palsu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, A.Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati bungkusan berisi bahan letupan menyerupai bom itu dialamatkan ke pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di tingkat 14.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.21 petang tadi.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bungkusan itu dihantar menggunakan kurier J&T pada jam 11.19 pagi tadi tetapi jam 2.45 dihantar ke lobi, kemudian dibawa naik ke tingkat 14.

“Semasa serahan dibuat, masa dibuka dalam kotak itu didapati ada paip PVC dengan wayar dan timer dipercayai bom pada awalnya.

“Kita menggunakan anjing pengesan bom dan anggota unit pemusnah bom (UPB) guna teknologi mereka untuk mengesahkan bahawa ia menyerupai bom tetapi kandungannya negatif,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, bangunan tersebut bagaimanapun sudah diisytiharkan selamat selepas pemeriksaan dilakukan dengan bantuan dua ekor anjing pengesan bom dan 10 anggota unit pemusnah bom (UPB).

“Kakitangan ada yang dibenarkan masuk dan ada dibenarkan pulang. Bangunan sudah diisytiharkan selamat.

“Kita dah minta bantuan bomba dan sama-sama selesaikan. Kita meminta pihak pengurusan bangunan ini untuk terus mempertingkatkan soal keselamatan,” katanya.

A. Asmadi berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 AKta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

“Kita akan jalankan siasatan dari semua sudut berdasarkan dapatan kita pada petang ini.

“Kita akan teliti semula akta relevan sebab kita tengah tengok beberapa sudut kerana ia mendatangkan pelbagai aspek seperti ugutan,” katanya.

Terdahulu, kakitangan dan pelawat di bangunan Motac di sini dilapor diarah mengosongkan bangunan tersebut sekitar jam 3.40 petang.

Tindakan tersebut didakwa susulan wujud ancaman bom di tingkat 14 bangunan tersebut. – 5 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

[UPDATED] Swatch scandal: Home Ministry must return Pride collection watches in 14 days

High court rules in favour of company but did not make any orders for damages, costs

Related