GOMBAK – Tidak ada lagi penduduk Kampung Sri Makmur di sini yang terpaksa berteduh dalam khemah di bawah jejambat selepas mereka mendapatkan rumah sewa.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM), Noora Mustafa berkata, sebanyak sembilan keluarga yang terlibat menyewa di sekitar Gombak dan Selayang dengan bayaran bulanan untuk sementara waktu ini akan dibantu oleh Masjid Al-Khiriyah dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Bagaimanapun, katanya deposit untuk memasuki rumah sewa itu ditanggung sendiri oleh keluarga terbabit.
“Sembilan keluarga sebelum ini tercicir daripada senarai untuk mendapat rumah sewa sejak semalam.
“Kita pun tak galakkan mereka tinggal di sini dalam khemah lama-lama, dapat rumah sewa kita segera pindah dan tak perlu minta belas kasihan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Noora, keluarga terbabit ketika ini sedang menunggu rayuan yang dibuat kepada kerajaan negeri bagi memudahkan mereka mendapatkan rumah tetap.
“Kita harap kerajaan negeri memberi peluang kepada mereka dan membantu keluarga yang terbabit mendapatkan kediaman,” katanya.
Terdahulu, seramai 11 keluarga dalam kalangan penduduk Kampung Sri Makmur hari ini menerima sumbangan tabung infak jariah umat Islam (Tijari) daripada Jais.

Penolong Pengarah Kanan bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor, Hashim Muhamad berkata, sumbangan diberikan bagi meringankan beban kos sara hidup penduduk terbabit.
“Sumbangan juga boleh digunakan untuk kegunaan dalam urusan pembayaran deposit rumah sewa mereka,” katanya.
Sementara itu seorang penduduk, Ahmad Suriawan Mohd Rauzan 45, berkata dia berterima kasih atas keprihatinan Jais dan kerajaan negeri dalam meringankan beban penduduk.
“Saya harap kejadian perobohan seperti ini tidak terjadi di tempat lain, yang mana sepatutnya perlu pastikan penduduk ada tempat tinggal untuk disewa sebelum melaksanakan kerja perobohan rumah.
“Kalau tidak keadaan jadi huru-hara, dan ada pihak lain pula yang ambil kesempatan,” katanya.
Ahad lalu, penduduk terbabit memaklumkan mereka tiada pilihan dan terpaksa mendirikan khemah untuk berteduh dari panas dan hujan di bawah jejambat berhampiran tapak perobohan Kampung Sri Makmur.
Ini kerana mereka tidak mampu untuk menyewa rumah lain.
Pada 27 Mei lalu, penduduk di Kampung Sri Makmur, Gombak diarah mengosongkan kediaman mereka bagi memberi laluan kepada pembangunan kondominium.
Mereka menetap di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). – 5 Jun, 2024