Bukan saja kapal, tapi kontena ZIM pun tidak dibenar masuki negara: Fahmi

Pemantauan dibuat secara rapi dan sudah diputuskan (Kabinet) tidak membenarkan kontena ini dibawa masuk ke dalam negara

5:29 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kerajaan tegas dengan pendirian tidak membenarkan bukan sahaja kapal tapi kontena dari syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM, daripada memasuki negara ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kontena syarikat perkapalan itu dikesan cuba dibawa masuk beberapa syarikat lain yang menyewa kontena dari syarikat terbabit.

“Dalam mesyuarat hari ini kita ada mendapat sedikit maklum balas dan penegasan daripada Menteri Pengangkutan bahawa yang dikawal di pelabuhah, sebarang kapal daripada syarikat ZIM tidak dibenarkan masuk ke pelabuhan di Malaysia.

“Manakala kontena juga tidak dibenarkan. Bagaimanapun dalam beberapa keadaan, kadangkala bukan kapal ZIM bawa kontena ZIM, tapi kontena ini disewakan kepada syarikat lain untuk dibawa atas kapal mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pemantauan secara rapi dibuat bagi memastikan perkara tersebut tidak berlaku.

“Pemantauan dibuat secara rapi dan sudah diputuskan (Kabinet) tidak membenarkan kontena ini dibawa masuk ke dalam negara.

“Jadi apa yang berlaku di sempadan Perlis itu adalah selaras dasar kerajaan,” katanya.

Terdahulu, kontena terbabit yang didakwa berada di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, di Johor Bahru, disahkan sebagai kontena muatan pindah kapal atau ‘transhipment’.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi, berkata transhipment kontena adalah proses pergerakan barang yang dibenarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).

Katanya, sebagaimana proses transhipment biasa, kargo akan bergerak dari pelabuhan berlepas ke pelabuhan destinasi melalui pelabuhan ketiga dalam jadual perjalanan.

Semalam, Kementerian Pengangkutan dilaporkan diarahkan membantu siasatan mengenai dakwaan kewujudan kontena terbabit di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata siasatan itu penting supaya tiada lagi insiden sedemikian berlaku di mana-mana pelabuhan di negara ini.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Israel.

Sabtu lalu, media melaporkan kewujudan kontena dari Israel itu menimbulkan tanda tanya dan keresahan dalam kalangan penduduk sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dilaporkan berkata, beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel. – 5 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Anwar’s plan: protecting Petronas and restoring the ringgit – Tuan Muda

How the prime minister’s reforms are taking shape in crucial institutions

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Related