Warga asing dalang sindiket penyeludupan di Pelabuhan Klang, hasil ketirisan RM3.5 bilion

Sindiket ini memiliki lebih 10 syarikat forwarding yang digunakan bagi menyeludup barang-barang import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu

5:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Seorang lelaki warga asing dipercayai menjadi dalang kegiatan sindiket penyeludupan terbesar di Pelabuhan Klang dan telah beroperasi dari luar negara sejak lebih 10 tahun lalu dengan ketirisan cukai dianggarkan sebanyak RM3.5 bilion.

Sumber memberitahu, kegiatan sindiket itu terbongkar hasil operasi dijalankan pasukan risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) baru-baru ini.

Katanya, dalam operasi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur itu, pasukan khas diketuai SPRM telah menahan 19 buah lori kontena disyaki membawa barangan lari cukai pelbagai jenis yang diseludup keluar tanpa melalui pemeriksaan.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini memiliki lebih 10 syarikat forwarding yang digunakan bagi menyeludup barang-barang import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu.

“Hasil risikan yang dijalankan lebih dari tiga bulan mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan pelbagai syarikat forwarding yang didaftarkan atas nama-nama individu yang tidak tahu-menahu mengenai urusan import serta eksport berkenaan.

“Ia bertujuan bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain bagi membolehkan ahli-ahli sindiket ini terlepas daripada sebarang tindakan dengan alasan tidak mempunyai kaitan dengan syarikat-syarikat berkenaan,” katanya.

Menurut sumber, dianggarkan sindiket itu menguruskan lebih kurang 3,000 kontena sebulan dan hasil ketirisan cukai bagi tempoh 10 tahun beroperasi dianggarkan sebanyak RM3.5 bilion berdasarkan cukai minimum RM7,000 bagi setiap kontena.

“Bagi mengelak dikenakan cukai, sindiket ini telah membuat pengisytiharan palsu menggunakan borang Kastam 9 (untuk tujuan pecah kecil pukal) dengan mengisytihar barangan tidak bercukai seperti ‘wheel chair’ dan barangan perubatan,” katanya.

Menurut sumber, dianggarkan sindiket itu menguruskan lebih kurang 3,000 kontena sebulan dan hasil ketirisan cukai bagi tempoh 10 tahun beroperasi dianggarkan sebanyak RM3.5 bilion berdasarkan cukai minimum RM7,000 bagi setiap kontena – Tangkapan layar, 5 Jun, 2024

Katanya, hasil risikan juga mendedahkan, ‘kontena terbang’ ini akan memasuki Gudang Berlesen Awam (GBA) Pelabuhan Utara hanya untuk tempoh 10 hingga 15 minit sahaja bagi mengaburi mata pihak berkuasa sedangkan kontena-kontena berkenaan tidak melalui proses pemeriksaan kastam dan seterusnya akan terus keluar dari pelabuhan untuk diedarkan ke seluruh negara.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan SPRM telah mengemukakan permohonan reman terhadap dua individu di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini, dan mahkamah telah membenarkan tahanan reman selama empat hari mulai hari ini hingga 8 Jun.

Menurut Azam, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh termasuk di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pengubahan Wang Haram, Akta Kastam 1967 dan Akta di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“SPRM amat mengalu-alukan kerjasama daripada Ketua Pengarah Kastam atas kerjasama yang diberikan serta berharap ketua-ketua jabatan mengambil langkah seumpama ini untuk mengekang isu-isu rasuah dan ketirisan di agensi masing-masing.

“Kami telah mengenal pasti identiti semua pihak termasuk dalang utama yang dipercayai berada di luar negara, pemilik syarikat, ejen forwarding serta pegawai-pegawai kastam yang bersekongkol dengan sindiket ini dan akan menahan mereka dalam masa terdekat.

“SPRM juga akan memohon bantuan agensi negara luar bagi membantu mendapatkan maklumat mengenai akaun-akaun milik dalang utama ini agar tindakan yang bersesuaian dapat diambil,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah berjaya membongkar sindiket penyeludupan dan lari cukai di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas. – 5 Jun, 2024

Topics

Hangat

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Why is Hamidin being blamed for recent sports controversies?

As FAM president, OCM deputy president, among other posts, he has received outsized criticism for matters out of his jurisdiction

Related