KUALA LUMPUR – Petikan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen Khas 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada April lalu, digunakan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam usahanya mendapatkan semakan kehakiman dalam permohonan tahanan dalam rumah.
Dalam afidavit terbaharu yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 25 Mei lalu, bekas Perdana Menteri berusia 70 tahun itu mendakwa ucapan Anwar antara lain menyentuh mengenai kewujudan titah tambahan itu.
Beliau menambah, ucapan Anwar itu mempunyai hubungan rapat dengan pemfailan permohonan semakan kehakiman, yang dibuat pada 1 April lalu.
“Jelas sekali Perdana Menteri tidak merujuk kepada Titah Utama dalam ucapannya tetapi beliau cuba mempersoalkan kesahihan Titah Adendum, tetapi mengelak untuk menyebut perkataan Titah Adendum.
“Jelas daripada ucapan tersebut bahawa Perdana Menteri telah tersilap dinasihatkan oleh Peguam Negara bahawa titah sedemikian tidak mungkin sah melainkan dibincangkan dan dinasihatkan secara khusus semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan bersidang dengan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Perdana Menteri merujuk kepada afidavit yang difailkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Bin Hamidi, yang menjadi perkara menyerang Perdana Menteri dan afidavit Zahid secara keseluruhan dan eksklusif hanya berkaitan kewujudan dan kandungan Titah Adendum.
“Anwar juga menyatakan beliau ‘memperoleh’ beberapa ‘fakta’ daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Yang paling penting, ucapan itu menguatkan pendapat kaunsel saya bahawa jika Anwar percaya adalah wajar untuk mengelak isu kesahihan Titah Adendum tersebut, mengapa tidak menafikan kewujudannya, jika benar ia tidak wujud?’’
Beliau berkata, ucapan itu menjelaskan Titah Adendum membawa inferens yang paling kukuh tentang kewujudannya.
Najib menambah beliau hanya mengetahui mengenainya 10 hari sebelum itu (sebelum 25 Mei) disebabkan pemenjaraan yang teruk dan tidak mempunyai keistimewaan untuk melayari internet serta menyiasat media sosial yang lain.
Jelasnya, beliau dimaklumkan ucapan itu sangat membantu namun memerlukan lebih masa untuk berunding dengan peguam serta mengesahkan kesahihan ucapan itu.
“Sudah terbukti sekarang bahawa ucapan itu sahih,’’ katanya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga menerusi afidavit berkenaan memberitahu, beliau dimaklumkan oleh peguamnya bahawa responden kedua melalui Pengarah Penjara Kajang, sebagai jawapan kepada surat peguamcara saya bertarikh 19 Februari lalu.
“Ini adalah pertama kali sebarang maklum balas yang saya terima daripada mana-mana responden tetapi berkenaan Titah Utama dan tiada sebarang jawapan pada Titah Adendum. Ini adalah perkembangan baharu selepas pendengaran terakhir pada 17 April lalu.
“Titah Utama menggariskan dengan jelas kewajipan responden kedua untuk mengemukakan dan menyampaikan Titah Utama kepada saya, kerana saya adalah pihak yang paling terjejas.
“Ini jelas membuktikan kewajipan dan fungsi undang-undang responden kedua dalam memastikan sebarang keputusan daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam kapasitinya sebagai Pihak Berkuasa Pengampunan mesti disampaikan kepada saya sebagai banduan yang terjejas tanpa sebarang budi bicara Pihak Berkuasa Penjara.
“Responden lain juga mempunyai kewajipan dan fungsi untuk memastikan apa-apa titah seperti itu diterima oleh banduan yang terjejas melalui saluran yang betul,’’ katanya.
Menurut Najib lagi, “Titah Adendum kini jelas terbukti wujud, Pihak Berkuasa Pengampunan, mempunyai kewajipan di sisi undang-undang untuk memberikan Titah Adendum kepada responden kedua agar ia disampaikan kepada saya.
“Keengganan semua responden untuk menguatkuasakan Titah Adendum adalah isu berasingan yang mana responden harus merujuk kepada mahkamah untuk keputusan muktamadnya.
“Responden tidak boleh membuat keputusan sendiri untuk mengabaikan Titah Adendum. Percubaan ceroboh untuk menyembunyikan Titah Adendum ini adalah tidak jujur,’’ katanya.
Najib sebelum ini memfailkan afidavit pertama dan kedua pada 1 April lalu serta afidavit tambahan pada 3 April.
Afidavit sokongan lain turut difailkan oleh Zahid dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan diterima oleh mahkamah.
Sama seperti afidavit yang difailkan oleh Zahid pada April lalu, Wan Rosdy berkata beliau mengetahui mengenai Titah Adendum berkaitan tahanan dalam rumah daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pemimpin Umno lain yang dinamakan oleh Wan Rosdy ialah Datuk Seri Johari Ghani, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Azalina Othman Said.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – 5 Jun, 2024