KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertindak ‘merehatkan’ pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid atau Ustaz Don daripada program Salam Baitullah selepas dikritik susulan dakwaannya berkaitan kehidupan Nabi Muhammad SAW.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menerusi ciapan di laman X, hari ini.
Menurut Suhaimi, ia dilakukan bagi meredakan keadaan selepas Ustaz Don dikritik beberapa pihak termasuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
“Untuk meredakan keadaan, saya telah minta pasukan untuk rehatkan dulu Ustaz Don daripada Salam Baitullah,” katanya.
Difahamkan tindakan itu dibuat selepas Ustaz Don mendakwa Rasulullah SAW pernah melamar seorang wanita sebanyak tiga kali dan wanita itu merupakan ‘cinta pertama’ baginda.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan menjelaskan mengenai isu terbabit dan kenyataan itu turut diragui.
Menurut Pejabat Mufti, adapun bagi dakwaan dua lamaran yang berlaku sebelum Islam adalah tidak diterima kerana sanad riwayatnya terlalu lemah dan tidak layak dijadikan sandaran.
“Seterusnya, menyatakan first love Nabi SAW iaitu Ummu Hani’ adalah suatu perkara yang perlu diambil perhatian yang mana tidak diketahui sumber asalnya untuk memastikan hal demikian adalah benar,” katanya.
Dalam pada itu Suhaimi menegaskan tugas Ustaz Don dalam Salam Baitullah adalah sebagai perantara dan bukan penganalisis atau penceramah malah sudah dinasihatkan untuk tidak mengundang kontroversi.
Katanya, pimpinan tertinggi pengarang juga ada di lokasi bagi menentukan semua perantara mengikut skrip ditetapkan.
Salam Baitullah adalah sebuah rancangan RTM yang bersiaran pada musim haji bermula 2 Jun sehingga 17 Jun. – 5 Jun, 2024