Jemaah haji Malaysia nikmati kemudahan selesa di Arafah dan Mina

Antara penambahbaikan itu termasuk kemudahan tandas, penghawa dingin dan kemudahan perkhemahan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya

12:52 PM MYT

 

MAKKAH – Dalam usaha memastikan keselesaan jemaah haji Malaysia, Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Mashariq Holdings selaku penyedia kemudahan dan perkhidmatan asas melaksanakan beberapa penambahbaikan selain menaik taraf kemudahan khemah di Arafah dan Mina.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata antara penambahbaikan itu termasuk kemudahan tandas, penghawa dingin dan kemudahan perkhemahan yang lebih baik serta berkualiti berbanding tahun sebelumnya.

“Di Mina contohnya, ada banyak penambahbaikan baharu berbanding tahun lepas antaranya kawasan minum atau kafeteria untuk minuman panas dan sejuk disediakan di stesen sepanjang lorong perkhemahan dan lebih teratur berbanding sebelum ini.

“Selain menambah bilangan tandas, dinding khemah di Mina juga dipasang Gypsm Board untuk lebih kukuh, selamat dan lebih selesa selain mampu mengekalkan suhu. Lebih penting kita juga menambah bilangan penghawa dingin.

“Sebelum ini, kita menggunakan penghawa dingin yang disediakan oleh pihak berkuasa di Mina yang sudah lama dan kurang berkesan. Bagaimanapun tahun ini kita menambah lagi penghawa dingin baharu dan keistimewaan ini hanya untuk jemaah haji Malaysia sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada petugas media selepas mengadakan lawatan ke tapak khemah penginapan jemaah haji Malaysia di Arafah dan Mina, semalam yang turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Al-Masyariq Al Masiyah Ali Hussein Bunduqji.

Syed Saleh berkata permaidani yang disediakan di dalam khemah di Mina juga lebih tebal dan berkualiti berbanding sebelum ini sekali gus mampu memberi keselesaan kepada jemaah sepanjang berada di situ selama tiga hingga empat hari nanti.

Di Arafah pula, bilangan bilik air dan bekalan air juga ditambah untuk memastikan tiada gangguan bekalan berlaku semasa hari puncak nanti dan pihak Mashariq turut menyediakan tangki air tambahan untuk memastikan bekalan air tidak terputus. 

Kesemua kemudahan dan penambahbaikan itu disifatkan setaraf dengan kemudahan jemaah pakej sekali gus menunjukkan kesungguhan TH dan Mashariq untuk memberi keselesaan kepada jemaah haji muasasah agar mereka dapat menumpukan kepada ibadah. 

Syed Saleh berkata penambahbaikan itu dilakukan oleh pihak Mashariq hasil beberapa siri perbincangan yang diadakan bersama TH di tanah air dan Makkah sebelum berakhirnya musim haji pada tahun lepas. 

Pada masa yang sama, beliau berkata hasil kecekapan pengurusan TH dalam menyelesaikan segala perjanjian dengan pihak Mashariq, Malaysia diberi keistimewaan sebagai negara pertama untuk memilih tapak khemah di Mina dan Arafah, bukan hanya untuk pakej VIP tetapi juga muasasah.

“Contoh di Arafah, kita pilih tapak di bahagian hujung untuk senang bergerak ke Muzdalifah begitu juga di Mina, tapak khemah jemaah Malaysia juga berdekatan dengan terowong untuk melontar,” katanya.

Setakat ini, beliau berkata kerja-kerja naik taraf segala kemudahan di Mina dan Arafah mencapai tahap terbaik dan hampir siap iaitu antara 70 dan 80 peratus serta dijangka siap sepenuhnya sebelum jemaah bergerak masuk 8 Jun depan. – 5 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

US embassy refutes claims of new sanctions on Malaysian companies  

Washington has not listed Putrajaya as ‘state sponsor of terror’, it clarifies

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Related