Gangguan bekalan air ketika pelajar sibuk lakukan persiapan projek tahun akhir

Ada pelajar yang menumpang seketika di rumah rakan-rakan yang terletak berhampiran universiti bagi mudah mendapatkan bekalan air

5:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Gangguan bekalan air di tujuh wilayah di Lembah Klang selama tiga hari bermula hari ini nyata memberikan kesan cukup besar khususnya kepada penuntut Universiti Malaya (UM) yang sebahagiannya sedang sibuk membuat persiapan projek tahun akhir.

Tinjauan Scoop mendapati, ada yang mengambil langkah pulang ke rumah masing-masing memandangkan tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan berkenaan ekoran gangguan tersebut.

Malah ada juga yang terpaksa menumpang seketika di rumah rakan-rakan yang terletak berhampiran universiti bagi memudahkan untuk mendapatkan bekalan air.

Pelajar Tahun Tiga jurusan Sains Komputer Kecerdasan Buatan (AI) yang menetap di Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, Uwais Al-Qarani Md Asham, 22, berkata, ramai rakannya yang telah pulang ke rumah masing-masing berikutan notis yang telah dikeluarkan mengenai gangguan bekalan air itu.

uwais-04062024-Tinjauan-pelajar-Universiti-Malaya-berkaitan-gangguan-bekalan-air-di-Selangor.-RIDUAN-RIZAL-AHMAD001
Uwais Al-Qarani Md Asham berharap dia tidak perlu keluar untuk membeli air sendiri nanti sekiranya air yang ditadah habis – Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 5 Jun, 2024

Katanya, minggu lalu pihak universiti telah mengeluarkan notis untuk sesi kelas dijalankan secara dalam talian sepanjang ketiadaan air.

“Ramai kawan saya telah pulang ke rumah memandangkan tempoh gangguan air bersambung dengan hujung minggu,” katanya.

Menurut Uwais, dia sendiri telah menadah air menggunakan baldi untuk kegunaan harian.

“Sebelum ini pernah terjadi ketika 2020, iaitu selama lima hari bekalan air terganggu, ketika itu ada lori air yang datang untuk pelajar dapatkan bekalan.

“Kalau air yang saya tadah habis, saya harap tidak perlu terpaksa ke luar untuk membeli sendiri nanti,” katanya.

Sementara itu, pelajar jurusan Mikrobiologi Genetik dari Fakulti Sains, Muhammad Ameer Ridzuan Muhd Helme, 22, berkata, dia mengambil kesempatan untuk membuat pelbagai persiapan awal sebelum bermulanya gangguan air.

Muhammad-Ameer-Ridzuan-04062024-Tinjauan-pelajar-Universiti-Malaya-berkaitan-gangguan-bekalan-air-di-Selangor.-RIDUAN-RIZAL-AHMAD0021
Muhammad Ameer Ridzuan Muhd Helme telah mengambil kesempatan untuk membuat pelbagai persiapan awal sebelum bermulanya gangguan air, termasuk mencuci baju di dobi – Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 5 Jun, 2024

“Ramai pelajar datang ke dobi awal untuk basuh baju kerana ada yang tidak berpeluang untuk pulang ke rumah,” katanya.

Menurutnya, sekarang sudah masuk waktu hujung semester dengan ramai pelajar sedang sibuk melakukan persiapan bagi projek tahun akhir.

“Kalau tidak mampu untuk pulang ke rumah, ada yang terpaksa tumpang di rumah kawan untuk beberapa hari. Untuk tiga hari ini, saya dah stock up (simpan) beberapa botol air di bilik,” katanya.

Sementara itu pekerja kafe di kolej kediaman, Nur Aizzal Haqim Norizan, 22, berkata, pihaknya mempunyai dua pilihan sama ada hanya menjual pastri atau tutup sementara.

Nur-Aizzal-Haqim-04062024-Tinjauan-pelajar-Universiti-Malaya-berkaitan-gangguan-bekalan-air-di-Selangor.-RIDUAN-RIZAL-AHMAD0031
Nur Aizzal Haqim Norizan berkata, kafe tempat kerjanya mempunyai dua pilihan sama ada hanya menjual pastri atau tutup sementara – Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 5 Jun, 2024

“Sekiranya kedai terpaksa tutup, makanan yang ada di sini akan disimpan dalam peti sejuk atau dipindahkan ke outlet (cawangan) lain, kerana kita nak menjaga kesegaran makanan. Pekerja di sini juga akan ke outlet lain untuk membantu,” katanya.

Menurutnya, pada kebiasaan, ramai pelajar yang datang ke kafe berkenaan untuk berehat sambil belajar hingga ke lewat malam.

“Saya berharap para peniaga di sini akan mendapat bantuan air dari luar untuk meneruskan operasi, kasihan kalau pelajar terpaksa keluar semata-mata untuk beli makan,” katanya.

Khamis lalu, Scoop melaporkan Air Selangor menggesa pengguna di Wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor supaya menyimpan air secukupnya berikutan gangguan air yang bermula hari ini.

“Air Selangor ingin mengingatkan pengguna mengenai pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

“Pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat mulai 3 pagi, 6 Jun 2024 (Khamis) setelah kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap, dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan,’’ katanya. – 5 Jun, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Punk venue Rumah Api faces relocation amid financial struggles, festival fallout

After eight years of operating on the top floor of Menara MPAJ in Ampang Jaya, local punk music venue Rumah Api will be relocating later this year due to increased rental and related arrears that accumulated during the Covid-19 pandemic.

Related