Lebih 180,000 pemandu, penghantar Grab Malaysia terima tajaan caruman SKSPS

Melalui inisiatif tersebut, perlindungan percuma diberikan kepada mereka yang layak sekali gus mengurangkan beban pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing

4:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lebih 180,000 rakan pemandu (e-hailing) dan penghantar (p-hailing) Grab Malaysia menerima tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata tajaan perlindungan itu adalah di bawah kendalian syarikat berkenaan untuk tempoh perlindungan selama 12 bulan bermula dari tarikh mereka didaftarkan.

“Tajaan Grab Malaysia adalah menerusi inisiatif Belanjawan 2024, di bawah geran padanan caruman SKSPS di mana 90 peratus ditanggung kerajaan manakala baki 10 peratus ditaja pihak Grab Malaysia untuk lebih 180,000 rakan pemandu dan rakan penghantar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran tajaan caruman SKSPS dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Grab Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal serta Pengarah Operasi dan Mobiliti Grab Malaysia Rashid Shukor.

Sim berkata melalui inisiatif tersebut, perlindungan percuma diberikan kepada mereka yang layak sekali gus berupaya mengurangkan beban pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing dalam mendapatkan perlindungan bagi menjamin keselamatan dan keluarga mereka sekiranya ditimpa bencana sewaktu menjalankan aktiviti pekerjaan.

Beliau berkata signifikan SKSPS itu kepada pencarum dibuktikan berdasarkan data Perkeso untuk tahun ini sehingga 24 Mei lepas apabila merekodkan 2,033 kes tuntutan diterima dan diproses dengan pembayaran faedah keseluruhan mencecah lebih RM8.9 juta merangkumi 20 sektor.

“Sementara untuk tempoh sama, sektor e-hailing dan p-hailing mencatatkan 631 kes tuntutan dengan pembayaran faedah berjumlah RM3.3 juta,” katanya. 

Bagi tahun ini, sehingga 24 Mei lepas Perkeso merekodkan seramai 622,473 pencarum SKSPS yang aktif.

Sementara itu Rashid dalam ucapannya berkata Grab Malaysia berbesar hati meneruskan kerjasama dengan Perkeso dalam menaja caruman dibuat pemandu dan penghantar melalui program caruman SKSPS, selaras komiten Grab yang menyediakan peluang pendapatan fleksibel sambil menjaga kebajikan mereka.

“Malah dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakan untuk mendaftar SKSPS, Grab juga akan memanfaatkan platform dan saluran yang berkaitan untuk memacu kesedaran dan pendidikan lanjut dalam kalangan rakan pemandu dan penghantar di seluruh negara,” katanya. – 4 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

US embassy refutes claims of new sanctions on Malaysian companies  

Washington has not listed Putrajaya as ‘state sponsor of terror’, it clarifies

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Related