Kanser dan golongan muda: Bukan lagi penyakit ‘orang tua’ disebabkan terdedah tabiat tidak sihat

Tabiat makan tidak sihat, pengambilan alkohol dan merokok menjadi antara faktor risiko kanser bukan genetik

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kanser tidak lagi menjadi penyakit yang sering dihidapi orang tua, sebaliknya semakin meningkat dalam kalangan golongan muda, dengan pakar perubatan menyatakan bahawa gaya hidup tidak sihat menjadi faktor.

Bercakap kepada Scoop, Ketua Jabatan Radioterapi dan Onkologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ros Suzanna Ahmad Bustamam berkata, berdasarkan kepada laporan Pendaftaran Kanser Malaysia 2012-2016, kanser paling sering dihidapi lelaki dalam umur 15 hingga 24 tahun adalah limfoma, iaitu pada kadar 24.2 peratus, leukemia (19.3 peratus) dan kanser testis (12.4 peratus).

Bagi wanita dalam kumpulan umur sama, katanya, kanser paling kerap dilaporkan adalah limfoma (21.1 peratus), tiroid (14.8 peratus) dan kanser ovari (13.2 peratus), katanya kepada Scoop, merujuk kepada laporan Pendaftaran Kanser Malaysia 2012-2016.

Di sebalik teknologi saringan kanser yang lebih baik dan kesedaran semakin tinggi mengenai kepentingan pemeriksaan awal, pengesanan kanser dalam kalangan golongan muda mungkin meningkat disebabkan faktor risiko berkaitan persekitaran dan gaya hidup.

Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Murallitharan Munisamy menyifatkan kanser sebagai ‘penyakit akibat pendedahan’, dengan merujuk kepada tabiat makan tidak sihat, pengambilan alkohol dan merokok yang menjadi faktor risiko kanser bukan genetik.

Dr Murallitharan Munisamy menyifatkan kanser sebagai ‘penyakit akibat pendedahan’. – Gambar lshtm.ac.uk, 4 Jun, 2024

“(Dalam generasi sebelumnya), orang yang mendapat kanser dalam usia 40-an dan 50-an (mungkin mempunyai) tabiat merokok dan minum. Kini, cabarannya adalah orang muda terdedah kepada tabiat ini pada usia lebih muda.

“Ada kanak-kanak mula merokok pada usia enam atau tujuh tahun, jadi menjelang umur 20-an, mereka terdedah kira-kira 18 hingga 20 tahun. Ini boleh menjadi faktor kanser pada usia muda,” katanya kepada Scoop.

Dr Murallitharan meluahkan kesedihan melihat pelbagai jenis leukemia dilaporkan dalam kalangan pesakit muda, malah menceritakan mengenai seorang pesakit muda dalam usia 20-an yang menderita leukemia jenis jarang dilaporkan yang ‘menyerang’ otaknya.

“Adalah sedih melihat orang muda mendapat kanser dan melihat mereka mempunyai begitu banyak harapan untuk melawan penyakit ini, tetapi penyakit ini sangat agresif,” katanya sambil menambah pesakit terbabit masih hidup tetapi kini sangat menderita.

Dr Ros Suzanna turut berkata, merokok meningkatkan risiko kanser paru-paru, mulut, tekak, kotak suara, pankreas, pundi kencing, serviks dan buah pinggang, sementara mereka yang terdedah kepada asap rokok juga boleh menghadapi risiko kanser paru-paru.

Mengenai rokok elektronik, beliau berkata, produk itu turut memberikan risiko kerana mengandungi bahan serupa seperti rokok biasa.

“Rokok elektronik agak baru (berbanding dengan rokok tradisional), jadi kita mungkin belum jelas mengenainya, tetapi bahan terkandung dalam vape atau rokok elektronik hampir sama dengan rokok. Nikotin mungkin tidak menyebabkan kanser tetapi bahan lain mungkin.

Bahan yang terkandung dalam vape atau rokok elektronik hampir sama dengan rokok, kata Dr Ros Suzanna Ahmad Bustamam. – Gambar Alif Omar/Scoop, 4 Jun, 2024

Menurut Dr Ros Suzanna, nasihat sering diberikan adalah mengenai pemakanan betul dan melakukan senaman.

Ujarnya, dengan pelbagai pilihan makanan lazat di Malaysia, tetapi tinggi lemak dan gula, beliau menyarankan indvidu mengamalkan disiplin dalam memilih diet tepat.

Walaupun obesiti sering dikaitkan dengan penyakit jantung dan diabetes, katanya, ia menjadi faktor risiko untuk kanser, terutamanya jika seseorang mengambil makanan segera dan daging diproses berlebihan.

“Makan daging diproses boleh meningkatkan sedikit risiko beberapa jenis kanser. Mengamalkan diet barat dengan lebih banyak daging, terutama daging merah, mempunyai kaitan dengan kanser kolorektal yang menyerang usus besar atau rektum.

“Diet Mediterranean, dengan minyak zaitun, beberapa kacang dan ikan, didapati pilihan diet yang lebih baik,” katanya.

Senaman kerap juga, tegasnya, mampu mengurangkan risiko beberapa jenis kanser, selain membantu mengawal penambahan berat badan.

Ketua Jabatan Radioterapi dan Onkologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ros Suzanna Ahmad Bustamam . – Gambar spm.um.edu.my, 4 Jun, 2024

“Senaman fizikal itu sendiri membantu mengurangkan risiko kanser payudara dan kolon. Untuk manfaat terbaik, lakukan sekurang-kurangnya 150 minit seminggu aktiviti aerobik sederhana atau 75 minit senaman aerobik keras,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan supaya menggunakan pelindung matahari yang bukan hanya untuk mencerahkan kulit, malah berupaya mengelakkan risiko terkena kanser kulit.

“Menggunakan pelindung matahari dengan faktor perlindungan matahari (SPF) sekurang-kurangnya 30 walaupun pada hari mendung, adalah penting. Menggunakan payung atau topi untuk melindungi kulit kita daripada sinar matahari berbahaya juga disyorkan,” katanya.

Dia juga menggesa golongan muda berhati-hati dengan tuntutan kumpulan anti-vaksin kerana sains membuktikan, vaksin terhadap Hepatitis B untuk mencegah kanser hati dan vaksin Human Papillomavirus (HPV) bagi kanser serviks berkesan.

Pengesanan awal menyelamatkan nyawa

Dr Ros Suzanna juga menekankan pemeriksaan dan saringan diri secara berkala untuk kulit, kolon, serviks dan payudara sangat penting untuk membantu mengesan kanser pada peringkat awal.

“Apabila kanser dikesan awal pada Tahap 1 atau Tahap 2 dan pesakit menerima rawatan betul serta lengkap, peluang sembuh daripada penyakit itu boleh mencapai setinggi 90 peratus atau lebih.

“Kanser yang berbeza akan mempunyai rawatan berbeza, tetapi rawatan bukan hanya mengenai membuang tumor, sebaliknya juga mikro-metastasis dengan potensi untuk berulang,” katanya.

Malah, dia menekankan kepentingan saringan kerana beberapa kanser tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal.

Tambahnya, lebih awal kanser dirawat, lebih mudah dan murah rawatannya, berbanding dengan rawatan serta kualiti hidup apabila penyakit ini berada pada peringkat lanjut.

Mengulas lanjut, Dr Ros Suzanna berkata, menurut Perintah (Perubatan) (Pindaan) 2017, pesakit hospital kerajaan boleh mendapatkan rawatan bersubsidi sehingga 75 peratus atau bahkan percuma berdasarkan kelas sosioekonomi pesakit.

“Rakyat Malaysia yang tidak mampu mengeluarkan wang yang banyak untuk rawatan kanser, boleh menggunakan subsidi disediakan ini di hospital kerajaan, katanya. – 4 Jun 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related