Unit keselamatan parti politik pakai rompi mirip PDRM?

Bercakap kepada Scoop, pakar kriminologi berkata, sekiranya benar, ia adalah kesalahan dan meminta rekaan rompi terbabit diubah

4:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Awal hari ini, wujud video memaparkan sekumpulan petugas unit keselamatan sebuah parti politik mengenakan rompi didakwa mirip anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Rakaman video berdurasi 54 saat itu yang dikongsikan seorang pengguna media sosial menunjukkan beberapa individu petugas keselamatan parti terbabit, melakukan kawalan laluan di sebuah lokasi dipercayai ketika ceramah umum.

Mereka mengenakan rompi berwarna kuning terang dan biru yang tertera nama serta logo unit berkenaan.

“Kalau nak ikutkan ini salah dari segi undang-undang, baju menyerupai penguatkuasa PDRM.

“Mohon Jabatan Perdana Menteri serta Badan Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA) siasat,” menurut keterangan di hantaran itu.

Melalui ruangan komen, netizen memberikan pelbagai komen mengenai perkara itu.

“Aku tak kisah mana-mana parti, organisasi, pertubuhan ada uniform sebab uniformity lambang kebersatuan.

Yang aku menyampah, pangkat, dan aksesori serupa tentera dan polis…,” kata seorang netizen.

“Tak kisah lah siapa… sebenarnya tak dibenarkan… tapi tengok gaya acah-acah polis tu yang tak boleh hadam,” tulis Rajkumar Subramanian.

“Kalau tindakan ini tidak menyalahi undang undang, maka mohon PDRM tidak bertindak ke atas mana-mana organisasi yang pakai vest (rompi) mirip polis dan bergerak merata. No double standard (tiada pilih kasih),” ujar tebukatap.

“Mana-mana unit yang menyerupai anggota keselamatam ni, sila banteras habis-habisan,” kata Moonshine.

Bagaimanapun usaha Scoop mendapatkan reaksi daripada pihak parti politik itu tidak berhasil apabila beliau masih belum memberikan maklum balas setakat ini.

Pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, sekiranya benar rompi dikenakan itu mirip pakaian sama yang digunakan anggota keselamatan PDRM, ia sememangnya kesalahan. – Facebook Shahul Hamid, 3 Jun, 2024

Sementara itu, pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, sekiranya benar rompi dikenakan itu mirip pakaian sama yang digunakan anggota keselamatan PDRM, ia sememangnya kesalahan.

Bercakap kepada Scoop, beliau berkata, bukan sahaja petugas unit itu, malah mana-mana individu atau pasukan dilarang mengenakan barangan, termasuk rompi dan aksesori mirip milik PDRM.

Pemakaian secara salah itu, katanya, boleh mengelirukan dan membahayakan masyarakat sekiranya ia disalahguna pihak tertentu.

“Terdapat perkara dan pakaian yang menyerupai pasukan keselamatan negara, jadi ia dilarang dipakai kerana berisiko dikatakan cuba untuk menyamar sebagai seorang anggota keselamatan.

“Jadi kalau orang yang tak betul-betul ingatkan pemakai itu pegawai keselamatan polis ke tetapi bukan, ia boleh mewujudkan salah anggap dan mengelirukan masyarakat,” katanya.

Shahul Hamid berkata, mana-mana individu boleh membuat laporan polis sekiranya curiga dengan pihak yang memakai rompi atau memiliki barangan menyerupai pihak berkuasa.

“Orang boleh sahaja buat aduan kalau lihat ada orang memakai rompi dan gunakan barang menyerupai atau mirip pihak berkuasa serta bertindak sebagai pegawai polis tetapi merasa curiga, bagi membolehkan polis siasat,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pengunaan rompi mirip PDRM dikenakan ahli pasukan unit keselamatan parti politik berkenaan, beliau menasihatkan rekaannya diubah.

“Saya menasihatkan tukar pakaian mereka jangan menyerupai atau mirip polis,” katanya. – 3 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related