KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dan menahan enam etnik Rohingya dengan dua daripadanya disyaki sebagai ‘transporter’ dalam operasi khas di sekitar Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi bermula jam 7.57 pagi melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat daripada Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu pejabat Imigresen, Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Kelantan.
Menurut beliau, berdasarkan aduan awam dan hasil risikan yang dijalankan selama tiga minggu, pasukan telah diatur gerak dan bertembung dengan sebuah kenderaan Proton Wira yang dipandu oleh suspek secara mencurigakan.
“Suspek kemudiannya memecut kenderaan setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas dan ditahan di Terminal Bas Ekspres Kota Bharu, Kelantan.
“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi telah menahan dua orang lelaki etnik Rohingya yang disyaki sebagai ‘transporter’ dan ‘pembantu’ bersama dua orang lelaki etnik Rohingya yang disyaki akan dibawa ke Kuala Lumpur.
“Hasil siasatan awal, pasukan operasi telah memeriksa premis kediaman di sekitar Kota Bharu dan menahan dua orang lelaki etnik Rohingya yang juga disyaki akan dibawa ke Kuala Lumpur. Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai enam orang etnik Rohingya berusia lingkungan 24 hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruslin memberitahu, hasil semakan awal mendapati, empat orang lelaki etnik Rohingya memiliki kad United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) manakala dua lagi lelaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Katanya, pasukan operasi telah merampas dua keping dokumen UNHCR yang disyaki palsu, wang tunai sebanyak RM2,000 dan sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang dipercayai untuk mengangkut pendatang asing tanpa izin (PATI) itu.
“Modus operandi sindiket adalah dengan menyeludup masuk PATI etnik Rohingya ke negara ini melalui laluan haram di sempadan dan ditempatkan di rumah transit sebelum dibawa ke Kuala Lumpur menggunakan bas ekspres dengan diiringi oleh seorang lelaki etnik Rohingya yang datang dari ibu negara.
“PATI etnik Rohingya yang baru masuk akan diberikan dokumen UNHCR yang disyaki palsu bagi mengaburi pihak berkuasa. Bayaran yang dikenakan oleh sindiket untuk penghantaran ke Kuala Lumpur adalah sebanyak RM500 untuk setiap seorang PATI dan RM100 dikenakan untuk penghantaran di sekitar Kota Bharu, Kelantan. Sindiket ini telah beroperasi selama satu tahun,” katanya.
Tambahnya, seramai tiga orang lelaki etnik Rohingya ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala tiga orang lelaki etnik Rohingya ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3), Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah, Kelantan. – 3 Jun, 2024