Tolong kami kerajaan: 9 keluarga Kampung Sri Makmur bergelar gelandangan, berteduh bawah jejambat

Mereka meminta jasa baik kerajaan negeri untuk membantu memberikan sedikit pampasan, khususnya rumah, manakala sewa dan bayaran bulanan akan diusahakan mereka sendiri

11:02 PM MYT

 

GOMBAK – ‘Umpama sudah jatuh ditimpa tangga’, itu nasib membelenggu sembilan keluarga yang rumah mereka terbabit dalam perobohan di Kampung Sri Makmur di sini.

Selepas melangkah keluar tanpa rela dari penempatan itu susulan arahan pemaju kawasan itu kelmarin, keluarga terbabit kini menjadi gelandangan kerana tiada tempat boleh dituju.

Mereka kemudian terpaksa mendirikan khemah untuk berteduh dari panas dan hujan di bawah jejambat berhampiran tapak perobohan berkenaan.

Justeru, seorang daripada mereka, Nur Zaitul Faridah Sulaiman, 40, meminta jasa baik kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah dihadapi itu.

Katanya, sembilan keluarga itu mengharapkan kerajaan menyediakan pampasan, termasuk kediaman baharu untuk mereka berlindung.

“Soal sewa dan bayaran bulanan kami akan usahakan sendiri, cuma kami harapkan rumah untuk berteduh,” katanya ketika ditemui media di lokasi berkenaan.

Daripada 24 keluarga yang meminta pertimbangan untuk mendapat pampasan, hanya 14 yang diluluskan manakala 10 keluarga lagi tidak disokong atas alasan tiada bukti mereka adalah penduduk asal – Halim Salleh/Scoop, 2 Jun, 2024

Nur Zaitul Faridah berkata, dia secara peribadi sangat memerlukan bantuan itu bagi memudahkannya menguruskan keluarga kerana suaminya mengalami masalah kesihatan, termasuk kegagalan buah pinggang yang memerlukannya menjalani dialisis.

“Suami tetap bekerja sebagai pengawal keselamatan, tetapi pendapatan keluarga kami memang tidak mampu untuk kami sewa rumah memandangkan banyak komitmen lain.

“Kami perlu menanggung keperluan seorang anak hadapi leukemia dan seorang lagi bergelar orang kurang upaya (OKU) pendengaran dengan kedua-duanya sedang menjalani rawatan di hospital, manakala anak sulung kini menuntut di universiti,” katanya ibu empat orang anak itu dalam nada sebak.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM), Noora Mustafa berkata, kerajaan negeri dimohon membantu mencari penyelesaian berhubung situasi sukar dialami penduduk terbabit, dengan tidak membiarkan kemelut berkenaan berterusan.

“Kerajaan tolonglah dapatkan penempatan untuk mereka yang tidak mampu ini, bukan ‘bermain politik’ sahaja.

“Seharusnya kerajaan negeri lebih fokus kepada masalah rakyat seperti ini, termasuk memikirkan di manakah mereka akan tinggal selepas rumah dirobohkan?

“Tetapi pemimpin politik saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain, seperti kanak-kanak kecil bergaduh,” katanya pada sidang media di khemah bersebelahan tapak kediaman dirobohkan itu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM), Noora Mustafa menyatakan jumlah pampasan diberikan kepada keluarga yang menerimanya tidak mencukupi, berbanding dengan kos kehidupan masa kini – Halim Salleh/Scoop, 2 Jun, 2024

Mengulas mengenai tindakan sembilan keluarga terbabit yang ‘menginap’ di bawah jejambat berkenaan, Noora berkata mereka tiada pilihan lain kerana tidak mampu menyewa rumah.

“Barang-barang seperti mesin basuh diletak di rumah saudara-mara,” katanya.

Pada sidang media sama, Noora memberi penjelasan mengenai permohonan pampasan dipohon penduduk, termasuk keluarga terbabit.

“Pada 24 April lalu, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menghantar surat kepada saya memaklumkan hanya 14 daripada 24 keluarga akan diberi pertimbangan untuk mendapat pampasan, manakala 10 keluarga lagi tidak disokong atas alasan tiada bukti mereka adalah penduduk asal.

“Kesemua 24 keluarga membantah keputusan terbabit kerana segala bukti sudah diberikan kepada Pihak Berkuasa PTG berkenaan,” katanya.

Noora turut menyatakan jumlah pampasan diberikan kepada keluarga yang menerimanya tidak mencukupi, berbanding dengan kos kehidupan masa kini.

“Bagi saya, kerajaan perlu menjadi pemudah cara untuk penduduk memiliki rumah kerana jika kerajaan tidak masuk campur dan tidak peduli, lagi susah kerana rata-rata mereka, bergaji di bawah RM3,000 sebulan,” katanya.

“Itu (pampasan RM1,000) tidak dinamakan pampasan, jika pampasan, kerajaan akan bantu seratus peratus, tetapi ini tidak, terdapat pelbagai lagi proses (yang mengekang penduduk) untuk mendapatkan rumah dan kemudahan,” katanya.

Pada Isnin lalu, penduduk di Kampung Sri Makmur, Gombak meluahkan kekecewaan dan sedih kerana terpaksa berpindah dari rumah didiami sejak sekian lama, sedangkan mereka hanya diberikan pampasan RM1,000 dan masa singkat untuk mematuhi arahan terbabit.

Arahan itu memandangkan mereka menetap di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pengusiran berkenaan adalah bagi memberi laluan kepada pembangunan kondominium. – 2 Jun, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

It’s clearly ‘All In’ Hotel, not ‘Allah’: Perlis mufti urges Muslims to look before leaping

The “All In Hotel” signage does not resemble the word “Allah”, said Datuk Mohd Asri Zainul Abidin after a group complained about its name.

Related