Pembunuhan Zayn Rayyan: Ahli keluarga tertekan dengan tohmahan, tuduhan liar netizen

Ramai pihak ingin terlibat dalam memberi pendapat dan spekulasi berkenaan dengan kes itu sehingga membuat kesimpulan serta tuduhan liar

10:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Peguam mewakili ibu dan bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, Mahmud Abdul Jumaat menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat tuduhan liar dan tohmahan seolah-olah kedua-dua mereka merupakan pihak yang bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

Malah beliau diberitahu oleh ahli keluarga kepada ibu dan bapa kanak-kanak itu bahawa mereka tertekan dengan tohmahan tersebut khususnya di media sosial oleh netizen.

“Saya dihubungi keluarga orang yang disyaki (OYDS) memohon untuk sampaikan mesej supaya hentikan tohmahan. Ahli keluarga tertekan dengan tohmahan daripada netizen, malu dengan rakan sekerja dan terlalu sedih memikirkan anak-anak mereka yang dalam tahanan reman.

“Namun mereka dengan berlapang dada memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan penuh terhadap OYDS. Semoga kebenaran terungkap dalam masa terdekat. Kita percaya pihak polis akan dapat jawapan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Mahmud memberitahu, pihaknya percaya ramai yang turut bersedih dengan perkhabaran OYDS direman apatah lagi suspek merupakan ibu bapa kepada Zayn Rayyan.

Namun katanya, ramai pihak ingin terlibat dalam memberi pendapat dan spekulasi berkenaan dengan kes itu sehingga membuat kesimpulan serta tuduhan liar.

“Saya ingin nasihatkan kepada semua agar berhati-hati dalam membuat sebarang komentar dan tuduhan liar sehingga boleh menjatuhkan reputasi serta merosakkan emosi ibu bapa kepada mangsa.

“Perlu sedar bahawa mereka juga ada ibu bapa dan keluarga terdekat yang sedang mengikuti kes ini. Saya hanya khuatir sekiranya kita terlanjur kata dengan membuat hantaran jelik dan memfitnah tanpa kita sedar boleh menyebabkan dikenakan tindakan undang-undang atas saman fitnah atau melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia sekiranya dibuktikan mereka tidak bersalah.

“Kerana itulah saya nasihatkan semua jangan membuat sebarang spekulasi, tuduhan liar dan jahat kepada kedua ibu bapa Zayn Rayyan ini dan teruskan berdoa agar Allah SWT melicinkan proses siasatan untuk mencari pihak yang bertanggungjawab bagi kes ini,” katanya.

Semalam, ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin (gambar) direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu – Gambar media sosial, 2 Jun, 2024

Beliau turut mengepilkan beberapa contoh hantaran berbaur fitnah dan jelik yang sempat ditangkap layar berhubung tuduhan liar terhadap ibu dan bapa Zayn Rayyan itu.

“Bagi saya nak komen boleh, jangan buat tuduhan liar. Sebab kalau dah kena saman, tak berbaloi, dah jadi satu kerja nak naik turun mahkamah.

“Saya sendiri sangat ternanti-nanti hasil siasatan dan ingin tahu siapa pelaku yang kejam ini. Semoga kes ini selesai secepat mungkin,” katanya.

Semalam ibu bapa kepada Zayn Rayyan direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu yang ditemukan meninggal dunia berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai, 6 Disember tahun lalu.

Mereka ditahan reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan polis terhadap kes tersebut.

Terdahulu Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah membuat tangkapan ke atas kedua ibu bapa kanak-kanak terbabit pada jam 10.05 pagi kelmarin.

Katanya, kedua-duanya direman bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut.

Pada 5 Disember tahun lepas, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai, Selangor sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokan harinya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri. – 2 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related