Bukan ‘negara polis’: Polis, menteri tidak berhak paksa media hapus artikel, kata Rocky Bru

Beliau mengingatkan bahawa artikel hanya boleh dibuang atau dibetulkan jika ada kesalahan dan jika editor merasa terugut, dia harus meletakkan jawatan

9:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Media mesti kekal bebas dan tidak boleh dipaksa membuang artikel diterbitkan atas permintaan mana-mana pihak berkuasa, termasuk polis, menteri atau pegawai kerajaan, tegas Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Datuk Ahirudin Attan.

Wartawan veteran yang lebih dikenali sebagai Rocky Bru itu menegaskan, walaupun polis boleh meminta kerjasama media untuk membuat perubahan dan pemeriksaan fakta terhadap laporan diterbitkan, media beroperasi berdasarkan prinsipnya sendiri.

“Pengarang (editor) harus tahu bahawa mereka tidak sepatutnya membuang artikel. Polis bukan pengarang atau pengarang kumpulan.

“Jika benar polis meminta beberapa pengarang untuk membuang artikel dan pengarang terbabit ‘akur’ kepada permintaan itu, mereka harus meletakkan jawatan.

“Saya tidak mahu mempersoalkan polis mengenai mengapa mereka fikir mereka boleh meminta media membuang artikel kerana tiada siapa boleh, kecuali pengarang dan penerbit kami. Mungkin ada seseorang di atas sana yang percaya ini adalah ‘negara polis’. Tetapi kerjaya kita (sebagai wartawan) adalah sama penting dengan polis dan kita saling memerlukan,” kata Pengarah Eksekutif Kumpulan Big Boom Media yang menerbitkan portal berita Scoop itu.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas program julung kali Jom Jalan Bersama NPC di Padang Merbok hari ini, susulan laporan bahawa pengarang dari pelbagai agensi berita menerima permintaan untuk membuang atau mengubah artikel, berkaitan dakwaan serangan dilakukan pengawal peribadi kepada individu teramat penting (VVIP) ke atas seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) pekak.

Ahirudin turut menyeru agar wujud hubungan lebih produktif dan konstruktif antara polis serta media, selain mengatakan wartawan mesti teguh dengan prinsip mereka.

“Hampir tidak ada komunikasi antara pihak polis dan media dalam usaha membantu mewujudkan masyarakat yang lebih baik atau selamat.

“Jika editor merasa terugut, dia harus meletakkan jawatan. Anda hanya boleh membuang atau membetulkan artikel anda jika ia ada kesalahan. Jika anda yakin artikel itu boleh mengundang fitnah, anda tidak patut menerbitkannya. Anda pastikan fakta adalah betul dan jika ada yang memberitahu anda untuk membuangnya, anda jangan mempedulikannya dan katakan ‘saya ada kerja perlu dilakukan’,” katanya.

Semalam, peguam N. Surendran pada satu program berkata, polis memaklumkan hampir menyelesaikan siasatan terhadap dakwaan serangan ke atas pemandu e-hailing berkenaan.

Semalam, peguam N. Surendran yang menemani pemandu e-hailing, Ong Ing Keong semasa kenyataan lelaki itu dirakam berkata polis memaklumkan hampir menyelesaikan siasatan terhadap dakwaan serangan ke atas pemandu e-hailing berkenaan – Abdul Razak Latif/Scoop, 2 Jun, 2024

Menurut Surendran, polis juga mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan dan hampir 80 peratus selesai, malah kertas siasatan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara minggu depan.

Turut hadir adalah mangsa, Ong Ing Keong dan rakannya, Pong Chang Khim yang memberikan kenyataan mengenai serangan di luar Hotel St Regis Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.

Surendran yang menemani Ing Keong semasa kenyataan lelaki itu dirakam berkata, polis menyoal mangsa mengenai serangan terbabit dan laporan segera dibuatnya di balai polis di mana dia ditawarkan pampasan untuk menggugurkan kes berkenaan.

Peguam itu menyatakan, beberapa individu tampil memberikan kenyataan, tetapi polis tidak memaklumkan siapa pelakunya.

Pengawal peribadi yang sedang disiasat adalah anggota pengiring Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, malah baginda menggesa siasatan menyeluruh berhubung kes itu demi keadilan untuk mangsa.

Baginda turut mengesahkan anggota pengiring terbabit adalah dari pasukan polis.

Dakwaan serangan itu disahkan sehari selepas kejadian terbabit oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dengan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa membuat laporan polis kedua memberitahu perkara terbabit sudah diselesaikan dan tidak ingin memanjangkan isu.

Namun, Rusdi kemudian menjelaskan perkara itu masih dalam siasatan, manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjanjikan siasatan menyeluruh tanpa kompromi akan dijalankan sekiranya pelaku didapati bersalah. – 2 Jun, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related