Memperluaskan PPPA kepada media dalam talian? Jangan harap kami sokong: Rocky Bru

Beliau berkata, cadangan melanjutkan PPPA bukan sahaja tidak rasional, malah memutuskan kesalinghubungan daripada landskap media semasa

7:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Datuk Ahirudin Attan menegaskan bahawa cadangan kerajaan untuk memperluaskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) kepada media dalam talian akan menjadi kesilapan besar sekiranya dilaksanakan.

Ahirudin yang lebih dikenali sebagai Rocky Bru, menegaskan langkah sedemikian akan ditolak wartawan dan menjejaskan sokongan golongan itu.

“Jika kerajaan benar-benar berniat memperluaskan PPPA kepada media dalam talian, mereka boleh ucapkan selamat tinggal untuk sokongan daripada wartawan,” kata Ahirudin ketika ditanya mengenai cadangan untuk turut mengenakan akta terbabit ke atas platform media digital.

Beliau berkata, cadangan melanjutkan PPPA bukan sahaja tidak rasional, malah memutuskan kesalinghubungan daripada landskap media semasa.

“Tiada perbincangan mengenai idea Kementerian Dalam Negeri untuk melanjutkan PPPA kepada platform dalam talian. Jika ini (cadangan) benar, ia tidak masuk akal. Jangan harapkan sokongan daripada kami (wartawan) dan anda boleh ucapkan selamat tinggal kepada sokongan untuk kerajaan kerana ia tidak masuk akal.

“Kita sepatutnya memberi tumpuan kepada menghapuskan undang-undang drakonian (kejam) ini, bukan melanjutkannya kepada portal dalam talian. PPPA sudah ‘kuno’ serta ‘usang’ untuk media cetak dan sekarang anda mahu menggunakannya untuk media dalam talian? Ia memang tidak masuk akal,” kata Pengarah Eksekutif Kumpulan Big Boom Media yang menerbitkan portal media Scoop itu.

Menyifatkan cadangan peluasan akta itu sebagai ‘bodoh’ dan ‘tiada otak’, Ahirudin mendesak pihak berkuasa membatalkan cadangan itu.

“Perkara saya ingin beritahu kepada menteri atau kementerian berkaitan adalah jangan fikirkan langsung cadangan seperti ini. Anda tidak akan mendapat sokongan kami,” katanya.

Beliau juga mengkritik penarafan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) baru-baru ini yang menyaksikan, Malaysia jatuh 34 tempat dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024.

“Saya tidak rasa mereka tahu apa mereka lakukan ketika memberi penarafan kepada media Malaysia. Bagaimana anda boleh menurunkan Malaysia sebanyak 34 tempat apabila tahun sebelumnya, anda menaikkan penarafan kami lebih tinggi lagi?

“Sementara itu, penarafan Israel hanya turun empat tempat, walaupun pembunuh itu membunuh 140 wartawan di Gaza. Malaysia tidak membunuh mana-mana wartawan. RSF memang tidak tahu apa-apa,” katanya.

Malah, mengenai penarafan RSF, Ahirudin mempersoalkan kaedah penilaiannya dengan mempersoalkan apakah justifikasi digunakan untuk melakukannya.

“Pada pandangan saya, RSF perlu memperbaiki mekanisme mereka untuk mencerminkan profesionalisme dan integriti.

“Saya akan bersetuju dengan penarafan terbaru RSF jika kerajaan memperluaskan PPPA untuk meliputi media berita dalam talian pada tahun lepas, sebelum ia diterbitkan,” katanya.

Ahirudin bersama para peserta program Jom Jalan Bersama NPC. Acara itu telah diadakan buat julung kalinya pagi ini dan dihadiri kira-kira 200 peserta, termasuk 56 anak yatim dari tiga rumah kebajikan – Gambar NPC, 2 Jun, 2024

Mengenai kelewatan dalam menubuhkan Majlis Media Malaysia, Ahirudin mendesak tindakan segera berhubung perkara itu.

“Berhenti melengah-lengahkan dan jadikan cadangan Majlis Media Malaysia satu kenyataan. Saya memuji Kementerian Komunikasi, terutama Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching kerana mengusulkan perkara ini kepada Kabinet yang kemudian meluluskannya.

“Tetapi sekarang saya diberitahu ia ditolak ke dalam situasi birokrasi lain. Jika mereka terus melakukan ini, ia mungkin mengambil masa 40 tahun lagi untuk MMC ditubuhkan. Kami sudah menunggu cukup lama,” tegasnya.

Menjawab kepada wartawan selepas program julung kali Jom Jalan Bersama NPC hari ini, Ahirudin berkata, beliau memahami kebimbangan kerajaan berhubung penyebaran berita palsu tetapi ia harus ‘melakukan perkara betul, bukan untuk kepentingan sendiri’.

Acara bermula jam 6.30 pagi di Padang Merbok di sini itu, dihadiri kira-kira 200 peserta, termasuk 56 anak yatim dari tiga rumah kebajikan, iaitu Light House, Rumah Victory serta Persatuan Kebajikan Hajah Kamariah untuk Anak Yatim dan Ibu Tunggal. – 2 Jun, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related