KUALA LUMPUR – Dua lelaki, dengan salah seorang daripadanya mempunyai 23 rekod jenayah serta enam rekod ‘wanted’ atau dikehendaki polis, ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di hentian sebelah Tanjung Malim arah utara di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku pada jam 11.32 malam ketika sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mengekori sebuah kereta jenis Proton Waja dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, apabila menyedari telah diekori, suspek bertindak melarikan diri dan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke arah utara.
“Pasukan polis telah mengejar suspek sehingga masuk ke hentian sebelah Tanjung Malim arah utara dan berjaya menghentikan kenderaan suspek. Namun suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.
“Pihak polis telah membalas tembakan sehingga keadaan selamat. Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek di dalam kenderaan itu dalam keadaan berlumuran darah dan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, suspek merupakan dua lelaki tempatan yang mempunyai rekod jenayah lampau dan salah seorangnya mempunyai 23 rekod jenayah serta enam rekod dikehendaki polis.
Katanya, pihak polis masih mengenal pasti identiti seorang lagi suspek.
“Kita telah menerima satu laporan berhubung kejadian itu dengan pengadu seorang anggota polis yang bertugas di Pusat Kawalan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya. – 2 Jun, 2024