Tindakan dua pemimpin Bersatu ‘perkuda’ isu Kampung Sri Makmur tidak bermaruah

Dakwaan puluhan naskah al-Quran dimusnahkan dalam proses pengosongan Kampung Sri Makmur merupakan fitnah keji terhadap penjawat awam dan pegawai keselamatan oleh orang yang tidak bertanggungjawab

12:41 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan dua pemimpin Bersatu memperkuda penduduk Kampung Sri Makmur, Gombak, ke dalam persengketaan antara mereka berdua yang sedang bergelut mendapatkan jawatan kepartian melalui pemilihan yang bakal berlangsung adalah tindakan tidak bermaruah dan seharusnya dihentikan serta-merta.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, A Rahim Ahmad Kasdi berkata, selaku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan dua watak yang sentiasa diragui rakyat seelok-eloknya lebih bertanggungjawab dalam hal melibatkan rakyat.

“Sebaliknya, mereka serta YB (Yang Berhormat) Muhammad Hilman Idham yang terikut-ikut dengan tindak-tanduk kedua-dua idola politiknya sanggup melangkaui batas sehingga menyalahgunakan kitab suci al-Quran sebagai bahan politik di Kampung Sri Makmur.

“Sebenarnya, perkara berkait Kampung Sri Makmur bermula sejak 2006 apabila Kerajaan Negeri pada waktu itu telah menawarkan rumah kepada penduduk setinggan yang menduduki tanah milik kerajaan.

“Tawaran ini dibuat berdasarkan bancian penduduk setinggan asal yang dilaksanakan pada 2006 oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (PDTG). Sebahagian besar penduduk telah menerima tawaran Kerajaan Negeri untuk pindah ke rumah kos rendah di Selayang Mulia manakala sekumpulan lagi menolak tawaran ini dan memohon pampasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

A Rahim menambah, kemudian MPS pada Julai 2006 telah menjalankan operasi perobohan bagi unit-unit rumah yang telah dikosongkan dan pada 2016, susulan kepada keputusan membangunkan kawasan itu, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak telah menjalankan satu lagi proses bancian untuk mengenal pasti penduduk setinggan asal yang menduduki kawasan itu sejak 2006 dan sebelumnya.

Namun katanya, penduduk setinggan Kampung Sri Makmur dibiarkan dalam keadaan tidak tentu akibat Menteri Besar pada 2016 yang tidak dapat mencari solusi kepada isu ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, A Rahim Ahmad Kasdi (gambar) berkata, selaku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dan Dun Selangor, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan dua watak yang sentiasa diragui rakyat seelok-eloknya lebih bertanggungjawab dalam hal melibatkan rakyat. – Gambar Facebook Rahim Kasdi, 2 Jun, 2024

“Malah, YB Hilman Idham merupakan Pegawai Khas kepada Menteri Besar pada ketika itu. Apabila pentadbiran baharu mengambil alih pada 2018, Kerajaan Negeri memutuskan bahawa kawasan itu harus dibangunkan secara tersusun dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah mengambil langkah dengan menjual tanah ini kepada Rexpoint Resources Sdn. Bhd pada September 2020.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri berikhtiar bahawa penduduk asal setinggan Kampung Sri Makmur harus menikmati peluang memiliki rumah sendiri selepas menetap dalam keadaan setinggan untuk tempoh yang lama.

“Oleh yang demikian, Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) telah mengarahkan supaya MPS, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta PKNS menyemak semula senarai bancian 2006 dan 2016 dan mengesahkan senarai ini supaya mengenal pasti penduduk setinggal asal Kampung Sri Makmur agar dapat mengelakkan mana-mana pihak mengambil kesempatan ke atas proses ini,” katanya.

Katanya, ia menjadi asas yang membolehkan Kerajaan Negeri untuk menawarkan pembelian Rumah Selangorku Seri Temenggung dengan subsidi RM65,000 setiap keluarga serta bayaran pemindahan rumah sebanyak RM1,000 oleh pihak pemaju kepada 21 setinggan asal yang tersenarai dalam proses bancian 2006 dan 2016 serta disahkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

Seterusnya kata A Rahim, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengeluarkan surat tawaran Rumah Selangorku pada 21 Mei 2024 dan tawaran itu diedarkan oleh pihak pemaju kepada 21 setinggan asal yang disahkan.

Tambahnya, harus dinyatakan syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Gombak adalah keluarga setinggan yang dapat mengemukakan sebarang bukti dokumen bahawa mereka telah menetap di Kampung Sri Makmur sejak sebelum 2006 dan terlibat dalam kedua-dua proses bancian itu.

Menurut A Rahim, apa yang mencetuskan kekecohan dalam kes Kampung Sri Makmur adalah terdapat mereka yang telah meninggalkan kawasan itu tetapi menuntut supaya diberikan pampasan sama seperti mereka yang merupakan penduduk setinggan asal. – Azim Rahman/Scoop, 2 Jun, 2024

“Malangya, terdapat juga mereka yang telah meninggalkan kawasan itu tetapi kini menuntut supaya diberikan pampasan sama seperti mereka yang merupakan penduduk setinggan asal Kampung Sri Makmur.

“Selaku Setiausaha Politik, saya diarahkan oleh Menteri Besar supaya sepanjang proses ini berjalan, kita harus membela penduduk setinggan asal Kampung Sri Makmur meskipun kita mengakui bahawa memindah dari perkampungan asal ke kawasan perumahan baharu bukannya satu proses yang mudah.

“Penyelesaian yang dicapai adalah bukti Kerajaan Negeri melaksanakan proses ini dengan amat cermat supaya sekurang-kurangnya penduduk setinggan asal Kampung Sri Makmur akan mempunyai hak kepada rumah yang dimiliki sendiri dengan harga subsidi yang tidak diperoleh komuniti lain,” katanya.

Selain itu tegasnya, dakwaan bahawa puluhan naskah al-Quran dimusnahkan dalam proses pengosongan Kampung Sri Makmur merupakan satu fitnah keji terhadap penjawat awam dan pegawai keselamatan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

“Saya amat kesal dengan tindakan beberapa pemimpin yang ketagih politik dan menyalahgunakan isu ini semata-mata sebagai gelanggang kempen yang ingin merebut jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti yang akhirnya tidak akan membawa manfaat kepada rakyat,” katanya. – 2 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

‘Sanusi pakai baju label KK Mart pada 2023, bukan sekarang’, pegawai perjelas kontroversi

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memakai baju t dengan label KK Mart semasa merasmikan satu kejohanan ragbi pelajar di UUM Sintok, pada tahun lepas dan bukan acara terkini.

Related