KUALA LUMPUR — Keperluan menahan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin bergantung kepada soal siasat terhadap ibu dan bapa kanak-kanak terbabit yang kini direman selama tujuh hari.
Bercakap kepada Scoop, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam tempoh itu, polis juga mungkin akan turun semula ke lokasi penemuan mayat kanak-kanak itu berhampiran Apartment Idaman di Damansara Damai, Selangor.
“Bergantung kepada hasil soal siasat (terhadap ibu bapa Zayn Rayyan) sama ada perlu (polis) turun sekali lagi ke tempat kejadian atau apa perlu kepada tangkapan lain.
“Persoalan sama ada kita akan bawa sekali kedua-duanya ke Apartment Idaman atau ke lokasi penemuan mayat mangsa bagi melengkapkan siasatan dalam tempoh reman ini, kita lihat dahulu hasil soal siasat itu nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Malah beliau menegaskan sekali lagi bahawa tahanan reman terhadap kedua-dua ibu bapa Zayn Rayyan itu adalah untuk membantu siasatan.
Terdahulu, ibu bapa kepada Zayn Rayyan direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.
Perkara itu disahkan peguam, Mahmud Abdul Jumaat ketika ditemui media di pekarangan mahkamah hari ini.
“Mereka ditahan reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan polis terhadap kes tersebut,” katanya.
Dalam pada itu polis mengesahkan Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah membuat tangkapan ke atas kedua ibu bapa kanak-kanak terbabit pada jam 10.05 pagi semalam.
Pada 5 Disember tahun lepas, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai, Selangor sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokan harinya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri.
Pada Februari lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak pernah menghentikan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu.
Katanya, walaupun berdepan dengan cabaran termasuk dalam mengesan lokasi utama kes pembunuhan itu, namun pihak polis tidak berputus asa dan meneliti setiap maklumat diterima, untuk menyelesaikannya kes itu.
Beliau berkata setiap kepakaran yang ada di jabatan berkenaan termasuk dalam aspek forensik, telah dikerah bagi memastikan penjenayah yang bertanggungjawab dapat diheret ke muka pengadilan. – 1 Jun, 2024