Peluang cerah calon Kerajaan Perpaduan rampas kembali DUN Sungai Bakap: Mujahid

Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, pengundi di Pulau Pinang kini sudah mulai celik lebih-lebih lagi negeri itu ditadbir PH sejak 2008

4:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Peluang bagi calon Kerajaan Perpaduan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap daripada Perikatan Nasional (PN) dilihat cerah.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, malah ia akan menjadi permulaan untuk memecahkan gelombang PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.

“Saya yakin momentum kemenangan PH (Pakatan Harapan) yang bermula dari beberapa Pilihan Raya Kecil sehingga Kuala Kubu Baharu dapat dikekalkan, akan dibawa ke Sungai Bakap.

“Saya juga percaya Sungai Bakap dapat memecahkan gelombang PN tersebut berdasarkan kepada pencapaian kita sepanjang menjadi kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan sesi libat urus bersama jawatankuasa pimpinan, sayap dan kawasan Amanah Kedah hari ini.

Beliau berkata, pengundi di Pulau Pinang kini sudah mulai celik lebih-lebih lagi negeri itu ditadbir PH sejak 2008.

“Sebelum ini, selama tiga penggal Sungai Bakap diwakili pemimpin PKR, sebelum itu Umno. Bermakna pengaruh itu sudah cukup untuk dinilai penduduk.

“Pulau Pinang pula ditadbir PH sejak 2008, sudah tentu banyak faedah diperoleh pengundi di situ.

“Cuma apa yang berlaku dalam PRU dan PRN lepas, kita berdepan gelombang (PN), sehingga banyak kerusi tewas, termasuk di kubu kuat Seberang Jaya. Bukan sahaja berlaku di Utara, malah Selatan juga alami gelombang sama,” katanya.

Sejarah persaingan di kerusi tersebut menyaksikan ia pada awalnya dimenangi oleh MCA yang ketika itu berada bersama Barisan Nasional (BN) apabila ia kali pertama dipertandingkan pada 1959.

Walau bagaimanapun, ia bertukar tangan beberapa kali antara parti yang berasingan antaranya Gerakan yang mula memenangi kawasan tersebut bermula pada 1971 dan menguasainya selama sembilan penggal sehingga 2004.

Namun, penguasaan itu mula berubah selepas ia beralih kepada Umno (BN) pada PRU-11 pada 2004.

Selepas tamat satu penggal, kerusi berkenaan kemudiannya bertukar kepada PKR pada PRU-12 dengan parti tersebut kekal memenangi kerusi itu dalam PRU seterusnya iaitu PRU-14.

Pada PRN lalu, Nor Zamri Latiff yang juga Ketua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Zamri meninggal dunia Jumaat minggu lalu kerana mengalami keradangan perut dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat 6 Jun ini bagi penentuan tarikh penamaan calon serta pengundian. – 1 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related