Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan: Henti spekulasi, mereka masih tidak bersalah, reman bertujuan…

Semua pihak tidak seharusnya membuat sebarang spekulasi awal, sebaliknya mendoakan agar keadilan memihak kepada mangsa

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Reman dikenakan ke atas ibu bapa kanak-kanak autism yang dibunuh Disember lalu, Zayn Rayyan Abdul Matiin masih tidak bermaksud kedua-dua mereka dianggap bersalah.

Justeru, masyarakat diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi bahawa kononnya perintah reman dihadapi pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf seolah-olah menggambarkan mereka bersalah atau ‘pelaku’.

Bercakap kepada Scoop, Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tujuan reman adalah untuk memberi lebih masa kepada polis melengkapkan siasatan.

“Reman juga bertujuan memberi lebih masa kepada polis memutuskan sama ada terdapat cukup bukti untuk mendakwa suspek atas kesalahan disyaki.

“(Bagaimanapun) Di peringkat reman, suspek masih dianggap tidak bersalah,” katanya.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mengingatkan bahawa reman bertujuan memberi lebih masa kepada polis memutuskan sama ada terdapat cukup bukti untuk mendakwa suspek atas kesalahan disyaki – Gambar Facebook Datuk Zainul Rijal, 2 Jun, 2024

Beliau berkata, pihak polis mesti membuat permohonan reman tanpa penangguhan tidak perlu dan suspek hanya boleh ditahan untuk tujuan siasatan pihak berkuasa tidak melebihi 24 jam.

“Sekiranya siasatan polis tidak dapat diselesaikan dalam tempoh ini dan polis ingin menahan suspek melebihi 24 jam, permohonan untuk penahanan lanjut hendaklah dibuat dalam tempoh 24 jam ke Mahkamah Majistret yang mempunyai kuasa untuk membuat perintah reman.

“Seseorang di reman apabila Majistret memberikan perintah reman untuk melanjutkan penahanan suspek melebihi 24 jam, dengan polis mesti memberi alasan kepada Majistret mengapa mereka perlu menahan suspek melebihi 24 jam dan Majistret akan mempertimbangkan sebab-sebab ini dengan teliti,” katanya.

Mengulas mengenai bilangan tempoh reman seseorang suspek, Zainul Rijal berkata, jika kesalahan yang disiasat berkaitan dengan hukuman penjara kurang daripada 14 tahun, penahanan tidak boleh melebihi empat hari pada permohonan pertama dan tidak lebih daripada tiga hari pada permohonan kedua.

Katanya, jika kesalahan disiasat berkaitan dengan pemenjaraan melebihi 14 tahun, penahanan tidak boleh melebihi tujuh hari pada permohonan pertama dan tidak melebihi bilangan sama pada permohonan kedua.

Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin direman tujuh hari di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam bagi membantu siasatan kes pembunuhan anak sulung mereka – Azim Rahman/Scoop, 2 Jun, 2024

Pada akhir permohonan reman, ujarnya, Majistret boleh membuat perintah reman atau boleh menolak untuk memberikannya.

“Jika Majistret menolak reman atau tempoh reman kedua luput, polis mesti sama ada mendakwa suspek atau membebaskannya.

“Jika perintah reman dibuat, suspek akan dibawa ke lokap polis dan mungkin dibenarkan melawat oleh peguamnya atau ahli keluarganya,” katanya.

Menurutnya, semasa reman, suspek mempunyai hak tertentu dengan boleh meminta untuk diwakili peguam, menghubungi ahli keluarganya dan mendapatkan rawatan perubatan.

“Suspek juga boleh membuat aduan jika dia dilayan dengan buruk atau dinafikan makanan, air atau pakaian yang sepatutnya,” katanya.

Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin direman tujuh hari di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam, bagi membantu siasatan kes pembunuhan anak sulung mereka itu yang ditemukan meninggal dunia berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai, 6 Disember tahun lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Azura Mohd Saad selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis.

Manakala, peguam kedua-dua suspek, Mahmud Abdul Jumaat menerusi catatannya di Facebook berkata, terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi.

Peguam kedua-dua suspek, Mahmud Abdul Jumaat menerusi catatannya di Facebook berkata, terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi – Azim Rahman/Scoop, 2 Jun, 2024

Tegasnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepatutnya diberikan ruang seluas-luasnya untuk memastikan keadilan memihak kepada Zayn Rayyan.

Menyifatkan penahanan ibu bapa kanak-kanak itu sebagai sangat mengejutkan, Mahmud memohon semua pihak, termasuk netizen tidak membuat sebarang spekulasi sebaliknya mendoakan agar keadilan memihak kepada mangsa.

“Selepas kes Bella, kes ini adalah antara kes berat untuk kami bawa. Sebelum ini sebagai peguam pemerhati tetapi kali ini sebagai peguambela bagi keluarga mangsa.

“Apatah lagi mereka mempunyai satu persamaan iaitu anak syurga OKU (orang kurang upaya). Bezanya anak syurga ini sudah tidak bernyawa lagi dan pihak ibu bapa Zayn Rayyan pula menjadi orang disyaki bagi kes ini. Sangat mengejutkan.

“Apabila berjumpa nenek dan keluarga arwah sebentar tadi, hati saya terusik kerana seluruh ahli keluarga sangat menyayangi arwah. Semoga keluarga Zayn Rayyan tabah dan kuat mengharungi ujian ini,” katanya. – 1 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related