‘Wakil Istana’ campur tangan di balai polis, dakwa pemandu OKU yang dipukul

Mangsa, Ong Ing Keong bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti individu itu dari Istana mana

7:29 PM MYT

 

PETALING JAYA – Pemandu e-hailing, yang didakwa dipukul oleh pengawal peribadi kenamaan berkata ‘wakil dari Istana’ hadir di balai polis ketika dia membuat laporan polis.

Bercakap pada sidang media di pejabat Lawyers for Liberty’s (LFL) hari ini, mangsa, Ong Ing Keong bagaimanapun berkata dia tidak mengenal pasti individu itu dari Istana mana.

Kejadian itu, katanya, berlaku pada 28 Mei lalu ketika dia menunggu penumpang di lobi St Regis Hotel.

“Apabila saya membuka bonet kereta, saya ternampak lampu siren polis dan diminta bergerak. Saya tidak selesa kerana pelanggan saya tidak masuk lagi ke dalam kereta dan meminta saya menunggu.

“Selepas pelanggan masuk, ketika saya mahu bergerak, saya nampak hayunan tumbukan tangan dari belakang dan terkena pipi kanan saya,’’ kata Ong menerusi penterjemah bahasa Lucy Liu.

Ong dan pengasas bersama Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia (DAWN), Anthony Chong turut melakonkan semula serangan itu.

Apabila mangsa berada di balai polis Brickfields untuk membuat laporan berhubung kejadian itu, dia diminta menunjukkan rakaman dari kamera papan pemuka dan polis yang melihatnya diam untuk masa yang lama sebelum merujuk video itu kepada pegawai lain.

Ketika di balai polis, Ong berkata seorang lelaki muncul dan dia dimaklumkan bahawa individu itu adalah wakil dari Istana.

“Wakil berkenaan memaklumkan saya ada dua pilihan, sama ada menerima pampasan atau meneruskan kes itu yang akan mengakibatkan telefonnya dirampas.’’

Disebabkan dia memerlukan telefon untuk bekerja dan berhubung dengan keluarganya, Ong berkata, dia menerima pampasan itu dalam keadaan terpaksa.

Beliau menambah, dia mendapatkan rawatan selepas mengalami mata merah, bibir bengkak dan sakit di bahagian rahang ketika mengunyah makanan.

Turut hadir pada sidang media itu ialah penasihat LFL Latheefa Koya yang memaklumkan kenyataan polis kepada media sebelum ini bahawa perkara itu sudah selesai adalah tidak benar.

Latheefa berkata, polis telah menghubungi Ong dan akan hadir di balai polis Brickfields untuk memberikan kenyataan. – 31 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related