KUALA LUMPUR – Bersatu hari ini menggesa tujuh wakil rakyatnya yang menukar sokongan kepada Kerajaan Perpaduan supaya menjadi anak ‘jantan’ dengan mengosongkan kerusi mereka bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.
Bercakap kepada Scoop, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, pelbagai alasan diberikan dalam surat balas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menyebabkan parti itu sudah muak dengan tingkahlaku mereka.
“Tujuh wakil rakyat ini mereka sudah tidak ada jalan lain dah, tidak ada jalan keluar, tidak perlu berselindung di balik akta atau peraturan, cuba menyelinap sana dan sini, dengan Speaker dan sebagainya.
“Mereka sudah sepatutnya tinggalkan kerusi itu dah kena kosongkan kerusi itu, serah kepada rakyat, parti dah tidak mahu mereka lagi dah.
“Kita dah pinda perlembagaan, dah buat surat aku janji baharu , jadi secara ‘jantannya’ mereka dah kena kosongkan kerusi itu, serah kepada SPR dan adakan pilihan raya. Bertandinglah balik guna tiket mana-mana parti,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ditanya mengenai langkah lanjut Bersatu selepas tempoh 14 hari bagi tujuh wakil rakyat berkenaan menyerahkan jawapan balas surat arahan terbabit berakhir hari ini.
Pada 17 Mei lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sudah menghantar surat mengandungi arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kepada tujuh wakil rakyat yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Manakala Adun Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari pula menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mereka diberikan tempoh 14 hari untuk menjawab surat tersebut.
Razali berkata, wakil rakyat terbabit tidak perlu merosakkan sistem demokrasi negara dan tak perlu untuk ‘menghalalkan’ sikap setia kepada parti tapi menyokong lawan.
“Jadi macam-macam jawapan diberi mereka (sama ada dalam surat dan kenyataan kepada media), kami dah muak dengan tingkah laku dan perangai segelintir ahli politik ini.
“Negara dah ada undang-undang anti lompat, nak berselindung kat mana lagi, ini seolah-olah undang-undang ini diperkotak-katikkan,” katanya.
Tambah beliau, satu jawatankuasa khas akan membincangkan respons semua wakil rakyat Bersatu terhadap surat arahan terbabit.
“Setakat ini maklumat membabitkan surat arahan itu ada pada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kita tunggu untuk arahan selanjutnya selepas ini,” katanya. – 31 Mei, 2024