Nak jadi influencer kena ada ilmu, karier tidak kekal kerana populariti boleh lenyap ditelan zaman

Golongan remaja pula dinasihatkan supaya bijak memilih pempengaruh untuk dijadikan idola dalam kehidupan masing-masing

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Selebriti media sosial, Ryzal Ibrahim menegur ramai anak muda yang lebih memilih karier sebagai pempengaruh atau influencer berbanding kepentingan akademik semata-mata kerana ia mudah menjana pendapatan lumayan.

Suami kepada personaliti Maryam Younarae itu berkata, hakikatnya karier tersebut tidak berkekalan kerana populariti boleh lenyap ditelan zaman.

“Tidak dinafikan memang dapat bayaran lumayan. Tapi itulah yang membutakan anak muda. Bila dah nampak duit, ia jadi ukuran kejayaan seseorang. Jadi mereka berlumba-lumba nak jadi YouTuber, TikToker atau influencer dan mengenepikan pelajaran.

“Tapi mereka tidak tahu, bayaran bergantung kepada populariti. Kalau dah ada nama tu, Insya-Allah okey. Kalau nak mengharapkan income influencer semata-mata, paling lama boleh bertahan pun dua tahun.

Ryzal Ibrahim bersama isterinya, Maryam Younarae. Menurut Ryzal, pendidikan sangat penting kerana ia akan membentuk keperibadian seseorang tanpa mengira apa jua bidang pekerjaan yang diceburi – Gambar Instagram Ryzal Ibrahim, 31 Mei, 2024

“Harus diingat influencer ada turun naiknya. Walaupun kita anggap diri dah hebat tapi akan ada influencer baru naik dan setiap brand (jenama) tidak akan guna muka sama sepanjang tahun. Jadi karier ini tidak menjamin masa depan,” katanya kepada Scoop.

Susulan itu, Ryzal atau nama sebenarnya Nik Muhammad Ryzal Ibrahim, 32, berkata, influencer tidak seharusnya dijadikan sebagai satu pekerjaan, sebaliknya hanya sekadar hobi atau minat.

“Bagi saya influencer ini bukan satu karier tapi ia sekadar hobi. Hobi yang beri pulangan lumayan kepada sesetengah orang yang bertuah dan bernasib baik.

“Jadi saya rasa bila sesetengah influencer tekankan kejayaan diperoleh tanpa memerlukan sijil akademik, itu mungkin kenyataan dia seorang sahaja atau sekadar mewakili beberapa orang, bukan majoriti,” katanya.

Ryzal yang turut memiliki sebuah restoran Korea di ibu negara berkata, pendidikan sangat penting kerana ia akan membentuk keperibadian seseorang tanpa mengira apa jua bidang pekerjaan yang diceburi.

“Nak jadi influencer pun kena ada ilmu. Kalau kita tiada ilmu pengurusan kewangan, income (pendapatan) RM1 juta pun sekejap je habis.

“Dapat duit je beli kereta, main belanja saja dan fikir, tak apa nanti boleh dapat job lagi. Mereka tak ada plan B. Jadi ilmu sangat penting,” katanya.

Sementara itu, Adrian Edy Siaw Chee Hua yang juga personaliti media sosial turut meluahkan kebimbangannya mengenai data 10,000 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana berkemungkinan mahu menjadi influencer dan mengabaikan pelajaran.

Pemuda berusia 28 tahun itu berkata, jumlah itu amat membimbangkan kerana jika tidak ditangani segera ia dikhuatiri akan memberi kesan kepada ekonomi negara yang memerlukan tenaga kerja berpendidikan dan berkemahiran untuk bersaing di peringkat global.

Adrian Edy Siaw Chee Hua berkata jumlah pelajar yang tidak menduduki SPM membimbangkan kerana jika tidak ditangani segera ia dikhuatiri akan memberi kesan kepada ekonomi negara yang memerlukan tenaga kerja berpendidikan dan berkemahiran untuk bersaing di peringkat global – Gambar Instagram Adrian Edy, 31 Mei, 2024

“Jadi saya tidak bersetuju bila ada orang kata mahu jadi influencer tak perlu belajar tinggi-tinggi. Kalau ada 100 influencer, mungkin satu dua saja boleh jana pendapatan. Jadi saya selalu tekankan (dalam content) SPM sangat penting.

“Sebab itu kita punya titik permulaan. Nak mencari kerja memang perlukan SPM. Mungkin mereka hanya nampak influencer yang berjaya… dah ada nama, mereka tak nampak influencer yang tengah struggle (berjuang).

“Kalau boleh janganlah target (sasar) untuk jadi influencer. Carilah kerjaya lain yang boleh menjamin masa depan sebab influencer, pendapatan pun tidak menentu juga,” katanya yang banyak berkongsi video menceritakan realiti kehidupan masyarakat khususnya di Sabah hari ini.

Pada masa sama, jejaka keturunan Sino Kadazan itu turut menasihati golongan remaja supaya bijak memilih pempengaruh untuk dijadikan idola dalam kehidupan masing-masing.

“Pada saya, golongan remaja kena bijak pilih influencer mana mereka nak ikut. Saya percaya jika media sosial kita guna cara baik, maka baiklah hasil. Kalau guna ke arah keburukan mungkin hasil sebaliknya.

“Jadi bagi saya kena pilih influencer yang beri inspirasi kebaikan dan mesej positif. Paling penting, pilih influencer bukan buat content (kandungan) kontroversi. Sekarang zaman media sosial semua lapisan umur boleh tengok, jadi buatlah kandungan bermanfaat untuk tontonan ramai,” katanya.

Seorang lagi pempengaruh media sosial, Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani menegaskan pelajaran banyak membantu membentuk displin dan mentaliti seseorang untuk menghadapi dunia pekerjaan sebenar.

Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani menegaskan pelajaran banyak membantu membentuk displin dan mentaliti seseorang untuk menghadapi dunia pekerjaan sebenar. – Gambar Instagram Izzar Anwari, 31 Mei, 2024

Mengakui terkejut dengan data dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM), beliau yang juga seorang doktor berkata, adalah satu kesilapan besar sekiranya ada pelajar merasakan mereka tidak perlu menduduki peperiksaan SPM kerana mahu mengejar cita-cita sebagai influencer.

“Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, seramai 10,160 calon SPM 2023 tidak hadir ambil peperiksaan itu. Ramai tu. Kalau ada sebab tertentu tak apalah.

“Tapi kalau tak ambil SPM sebab tak rasa penting dan nak jadi influencer terus banyak duit, silap besar tu. Ilmu adalah paksi kepada tingkah laku dan perbuatan kita.

“Dengan ilmu betul, barulah kita tahu apa yang baik dan buruk dengan lebih mendalam dan terbuka,” katanya.

Justeru, beliau menasihati golongan remaja supaya jangan berhenti mencari ilmu kerana tanpa ilmu maka lahirlah individu yang bekerja tanpa etika dan integriti.

Dalam pada itu, pempengaruh terkenal, Khairul Aming turut menitipkan pesanan kepada anak muda yang ingin menjadi pencipta kandungan supaya tidak mengabaikan pelajaran.

“Adik-adik yang masih bersekolah, teruskan pembelajaran walaupun awak nak jadi ‘content creator’ awak kena ingat jadi ‘content creator’ bukan sekadar viral. Untuk relevan lama dalam industri, awak perlukan banyak pengetahuan.

“Critical thinking (pemikiran kritis), problem solving (penyelesaian masalah), ada adab, ada common sense (masuk akal). Jadi habiskan pembelajaran, dan jadilah pelapis ‘content creator’ yang bagus, yang boleh majukan negara kita, Malaysia,” katanya.

Video ucapan usahawan berusia 31 tahun itu ketika dinobatkan sebagai Creator of the Year pada TikTok Award 2023 kembali tular di platform X susulan isu lebih 10,000 tidak hadir peperiksaan SPM kerana didakwa mahu menjadi pempengaruh. – 31 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

A modern mufti: Anwar Ibrahim’s vision of Islamic leadership – Tuan Muda 

The prime minister needs the right candidate to journey with him on his reform agenda 

Related