KUALA LUMPUR — Kerajaan digesa menarik diri daripada menyertai latihan ketenteraan maritim antarabangsa Rim Of The Pacific (RIMPAC 2024) yang akan berlangsung di kepulauan Hawaii mulai bulan depan, sebagai membantah penyertaan Israel dalam latihan itu.
RIMPAC 2024 dihoskan oleh Komander AS Pasifik Armada dan akan berlangsung mulai 26 Jun hingga 2 Ogos ini.
Kumpulan pro-Palestin, Boikot, Penjualan, Sekatan (BDS) Malaysia ketika membuat gesaan berkenaan berkata, ini kerana Israel adalah terbukti sebagai negara penyangak dan zalim.
“Tindakannya terhadap rakyat Palestin selama lebih 70 tahun dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza sekarang menunjukkan secara terang-terangan sikapnya yang mengabaikan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
“Sekurang-kurangnya 36,000 termasuk lebih daripada 15,000 kanak-kanak Palestin terkorban dalam serangan Israel, justeru ia mewajarkan kita melabel Israel sebagai penyangak genosid,’’ katanya.
Gesaan itu turut ditandatangani 14 pertubuhan lain iaitu KDMRSM, Forum Profesional Muslim, Centhra, Мapim, Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (Agenda), Sejagat, Muslim Care Malaysia, Pertubuhan kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Viva Palestina Malaysia, Sahabat Palestin, Haluan Malaysia, Yayasan Quds Malaysia (QFM), Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).
Berdasarkan laman web RIMPAC, dianggarkan 29 negara, 40 kapal, tiga kapal selam, 14 pasukan darat negara, lebih 150 pesawat dan 25,000 anggota tentera akan mengambil bahagian.
RIMPAC 2024 adalah siri latihan ke-29 sejak 1971 dan ia latihan maritim terbesar di dunia.
Tahun ini, negara yang dijangka menyertainya adalah Australia, Belgium, Brazil, Brunei, Kanada, Chile, Colombia, Denmark, Ecuador, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Israel, Itali, Jepun, Malaysia, Mexico, Netherlands, New Zealand, Peru, Republik Korea, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand, Tonga, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
15 NGO itu turut menggelar Israel sebagai penyangak genosida yang sehingga kini mengakibatkan lebih 36,000 penduduk Palestin termasuk lebih 15,000 kanak-kanak terkorban, sejak perang Israel-Gaza meletus pada Oktober lalu.
Tindakan Israel, katanya terhadap rakyat Palestin selama lebih 70 tahun dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza sekarang menunjukkan secara terang-terangan sikapnya yang mengabaikan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
Malah tindakan Israel secara terang-terangan tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ pada Januari dan Mac lalu serta resolusi UNSC Mac 2024 yang menggesa gencatan senjata disifatkan sebagai penyangak dan samseng.
Pada Mei pula, kata BDS Malaysia, ICJ secara eksplisit mengarahkan Israel menghentikan serangannya terhadap Rafah namun pemimpin kerajaan dan pembangkang Israel secara mencemuh menolak keputusan ICJ.
“Israel menghina keputusan ICJ untuk memohon waran tangkap untuk pemimpinnya untuk pelbagai jenayah perang terhadap penduduk Palestin di Gaza.
“Penghinaan Israel terhadap undang-undang antarabangsa dan nyawa rakyat Palestin adalah fakta yang tidak dapat dinafikan serta disokong oleh bukti yang dilakukannya di Gaza dan Tebing Barat,’’ katanya. – 30 Mei, 2024