Hilman jelaskan tak pernah desak roboh Kg Sri Makmur, minta Amirudin jangan bohong

Kata Hilman Idham kepada Scoop, apa yang didakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari itu hanyalah pembohongan untuk menutup kezalimannya

8:49 PM MYT

 


KUALA LUMPUR — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia dari Bersatu, Hilman Idham menafikan beliau pernah mendesak supaya kerja perobohan dijalankan di Kampung Sri Makmur, Gombak pada 2018.

Sebaliknya kata beliau kepada Scoop, apa yang didakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari itu hanyalah pembohongan untuk menutup kezalimannya.

“Amirudin tak perlu berbohong untuk tutup kezaliman dan kekejaman yang beliau lakukan sendiri.

“Saya tidak pernah mendesak perobohan pada 2018, sebagai Adun Gombak Setia, saya mahukan sebuah pembangunan yang dapat meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan rakyat khususnya di setinggan Kampung Sri Makmur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada sidang media hari ini, Amirudin mendakwa Hilman yang mendesak kerja perobohan diljalankan di Kampung Sri Makmur, Gombak beberapa tahun lalu.

“Saya boleh katakan pada 2018 atau 2019… siapa yang mendesak saya untuk mempercepatkan perobohan? Tak lain dan tidak bukan Hilman, kerana dia tahu situasi dan keadaan di sana.’’ kata Menteri Besar.

Amirudin berkata demikian ketika menjelaskan mengenai kerja-kerja pengusiran yang terpaksa dilakukan bagi membolehkan pembangunan dijalankan yang turut meliputi perumahan penduduk.

Mengulas lanjut, Hilman mendakwa penduduk di kawasan terbabit bersedia untuk berpindah selepas dijanjikan pampasan oleh kerajaan negeri.

“Tapi sebagai MB, kamu mungkir janji. Kamu zalim, kamu kejam.

“Mahkamah beri ruang perobohan dan pengusiran di antara 27 Mei sehingga 31 Mei. Kamu beri pampasan RM1,000 pada hari Jumaat. Hari Isnin kamu terus roboh tanpa kompromi.

“Apa perasaan kamu sebagai Menteri Besar bila lihat wanita dikasari ? Warga emas dipukul? Anak kecil menangis trauma. Apa kamu tiada hati atau perasaan,’’ soalnya.

Hilman berkata, sebagai wakil rakyat beliau tidak mahu orang Melayu terus tinggal di kawasan setinggan.

“Mereka memerlukan pembelaan daripada Kerajaan. Mereka wajar diberikan persekitaran kehidupan yang baik serta memangkin ekonomi dan kesihatan mereka,” katanya.

Isnin lalu, penduduk di Kampung Sri Makmur, Gombak meluahkan kekecewaan dan sedih kerana terpaksa pindah sedangkan mereka hanya diberikan pampasan RM1,000 dalam masa yang singkat untuk berpindah.

Mereka menetap di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pengusiran itu adalah bagi memberi laluan kepada pembangunan kondominium. – 30 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Zii Jia’s payment sponsorship-based, not for national representation, says BAM admin head

This as badminton body’s sponsors differ from star shuttler’s, says Michelle Chai

Bar Council’s challenge of Pardons Board decision to reduce Najib’s sentence is ‘unprecedented’: Hamid Sultan

Retired judge says he has never heard of an attempt to impair a prisoner's constitutional rights, or an injunction to restrict their rights

Related