KUALA LUMPUR — Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas yang berperanan menjalankan siasatan dan tindakan awal terhadap sebarang aduan jemaah haji negara ini terkandas di Makkah.
Pengarahnya Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penubuhan pasukan itu merupakan tindakan proaktif bagi menangani isu tersebut.
Pasukan berkenaan, katanya bakal bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan dan akan memastikan tindakan selanjutnya diambil berpandukan peruntukan undang-undang tertentu, dengan kesalahan yang dikesan.
“Justeru, penubuhan Pasukan Petugas Khas ini adalah bagi memastikan sebarang aduan yang diterima, dapat ditangani secara lebih efisien dan berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, seorang wanita dikenali sebagai Ena Awil, mendakwa ibu bapanya terkandas di Makkah akibat terpedaya oleh sebuah agensi pelancongan yang turut memegang pasport mereka.
Ena pada satu sidang media di Putrajaya memberitahu ibu bapanya diberikan visa pelancongan sekali gus tidak membolehkan mereka mengejarkan ibadat haji.
Dalam pada itu, Ramli berkata pihaknya menerima satu laporan di Negeri Sembilan yang mendakwa terdapat jemaah haji dari Malaysia terkandas di Makkah pada musim haji tahun ini.
Bagaimanapun, siasatan awal setakat ini mendapati isu dalam kes tersebut adalah menjurus kepada bidang kuasa siasatan Lembaga Tabung Haji. – 30 Mei, 2024