Penduduk Kg Sri Makmur tiada tempat tinggal, terpaksa pasang khemah atas tapak rumah yang roboh

Seorang penduduk mendakwa sepanjang menetap di kampung tersebut, pihak pemaju atau ahli majlis tidak pernah datang berunding mengenai pampasan

10:50 PM MYT

 


GOMBAK – Seorang warga emas yang juga penduduk di Kampung Sri Makmur, di sini, meluahkan rasa sedih dan terkilan kerana terpaksa bermalam di atas tapak rumahnya yang sudah dirobohkan disebabkan tiada tempat dituju.

Warga emas itu yang hanya dikenali sebagai Tok Janggut, 60-an, berkata, dia tidak mempunyai tempat untuk menumpang teduh dan tidak mampu mencari tempat lain dalam masa singkat.

Tok Janggut juga memaklumkan dia terpaksa memasang khemah di atas tapak rumah itu, yang sudah tidak mempunyai bekalan air dan api lagi.

Tok Janggut memaklumkan dia terpaksa memasang khemah di atas tapak rumahnya, yang sudah tidak mempunyai bekalan air dan api lagi – Adam Ayzzat/Scoop, 29 Mei, 2024

“(Saya) Tak larat dah nak nangis, sudah tiada, hilang dah (perasaan), marah pun sudah tiada. Nak buat macam mana, benda dah lepas,” katanya dalam nada kecewa kepada Scoop, sambil memaklumkan rumah yang dirobohkan itu dibina dengan kederat empat keratnya.

“Malam ni (tidur terlentang), buat lagi khemah di sekeliling (rumah)… api dan air tiada. Orang-orang luar tidak tahu, tidak pernah rasa tinggal setinggan. Mereka boleh kata kami Yahudi, tapi sebenarnya (kamu semua harus) duduk, baru (kamu semua) tahu,” tambahnya ketika ditemui di sini hari ini.

Penduduk di Kampung Sri Makmur, Gombak terpaksa berpindah selepas diminta berbuat demikian pada Isnin lalu. Mereka menetap di atas tanah milik PKNS dan pengusiran itu adalah bagi memberi laluan kepada pembangunan kondominium.

Tok Janggut juga mendakwa sepanjang menetap di kampung tersebut, pihak pemaju atau ahli majlis tidak pernah datang berunding mengenai pampasan penduduk-penduduk tersebut.

Amril Muslim, seorang pemandu teksi, membeli rumahnya daripada penghuni sebelum ini dan mendakwa tanah di tapak perkampungan itu memang tanah setinggan dan kemungkinan orang tengah ketika itu menjual tanah tersebut tanpa dokumen – Halim Salleh/Scoop, 29 Mei, 2024

Seorang lagi penduduk, Amril Muslim, 60, berkata, tiada rundingan dengan mereka dilakukan sejak 1999.

“Notis memang dah bagi dua tiga kali, tapi tanpa perundingan. Tanpa beritahu nak bagi pampasan (atau) suruh pindah macam tu sahaja. Kalau macam itu, nak pindah ke mana? Nak sewa lori pun kena pakai duit. Nak sewa rumah, kurang-kurang pun RM4,000 deposit,’’ katanya kesal.

Amril yang juga seorang pemandu teksi selama 12 tahun, membeli rumahnya itu pada harga RM19,000 daripada penghuni sebelum ini dan mendakwa tanah di tapak perkampungan itu memang tanah setinggan dan kemungkinan orang tengah ketika itu menjual tanah tersebut tanpa dokumen.

Amril merupakan salah seorang penduduk yang mendapat saguhati ex-gratia berjumlah RM1,000 dan tawaran rumah di bawah inisiatif Rumah Selangorku di Seri Temenggung – yang berharga RM65,000 – oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketua penduduk, Azhar Ariff Ibrahim berkata penduduk tidak meninggalkan kediaman mereka kerana faktor kewangan dan kesihatan – Adam Ayzzat/Scoop, 29 Mei, 2024

Menceritakan mengenai proses pengusiran itu, Amril mengeluh kerana terpaksa menyewa lori untuk menyimpan barang-barang dari rumahnya dengan sewa dibayar mengikut kadar harian.

Bagaimanapun Tok Janggut dan Amril mendakwa ada penduduk yang menyewakan rumah mereka kepada warga asing.

Dalam pada itu, ketua penduduk di situ, Azhar Ariff Ibrahim, 34, memberitahu penduduk tidak meninggalkan kediaman mereka kerana faktor kewangan dan kesihatan.

“Kami tidak melarang pembangunan, cuma kita nak tahu apa initiatif kerajaan untuk keluarkan penduduk supaya PKNS boleh dapat balik tanah mereka – misalnya, duit pemindahan atau perjanjian rumah – kita sokong,” katanya yang menetap di situ sejak berumur sembilan tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata beliau teguh bersolidariti bersama 153 keluarga yang terlibat secara keseluruhan dalam isu ini – Halim Salleh/Scoop, 29 Mei, 2024

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham yang melawat penduduk terbabit menawarkan pusat khidmat beliau kepada penduduk untuk sementara waktu.

“Saya teguh bersolidariti bersama kesemua 153 keluarga yang terlibat secara keseluruhan dalam isu ini,’’ katanya. – 29 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

US embassy refutes claims of new sanctions on Malaysian companies  

Washington has not listed Putrajaya as ‘state sponsor of terror’, it clarifies

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Related