Program parallel pathway UiTM: Ini cadangan atasi polemik, elak kerugian kepada negara

UiTM dicadangkan untuk menawarkan tenaga pengajarnya bukan menerusi program perdana sedia ada, sebaliknya di bawah ‘private wing’ dipanggil iCeps

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Universiti Teknologi Mara (UiTM) dicadang melaksanakan beberapa langkah bagi menyelesaikan dengan baik polemik berhubung isu permintaan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera untuk melanjutkan pengajian di situ.

Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata, cadangan itu juga boleh diambil membabitkan isu permintaan segelintir pihak supaya universiti awam (UA) berkenaan, dibuka kepada tujuh pegawai perubatan untuk menyambung pengajian ke program latihan ijazah lanjutan kepakaran (parallel pathway) dalam bidang pembedahan kardiotorasik.

Bercakap kepada Scoop, beliau mencadangkan UiTM menawarkan tenaga pengajarnya kepada pegawai perubatan bukan Bumiputera berkenaan bukan menerusi program perdana sedia ada, sebaliknya di bawah ‘private wing’ dipanggil Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCeps).

“Kesesuaian meletakkan bidang kardiotorasik di bawah iCeps ini kerana ia pengajian profesional, jadi ia bukan program perdana, seperti juga kita meletakkan pelajar antarabangsa di bawah private wing ini.

“Maka ini tidak ada masalah, ia boleh dilakukan dengan mudah dan orang tidak boleh marah kita letakkan program latihan ijazah lanjutan kepakaran (parallel pathway) dalam bidang pembedahan kardiotorasik ini di bawah iCeps,” katanya.

Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata, bidang kardiotorasik ini sesuai diletakkan di bawah iCeps kerana ia pengajian profesional, jadi ia bukan program perdana, seperti meletakkan pelajar antarabangsa di bawah private wing ini – Gambar Bernama, 30 Mei, 2024

Terdahulu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) merayu agar UiTM mengutamakan kepentingan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada tujuh pelajar bukan Bumiputera dalam kalangan pegawai perubatan pembedahan kardiotorasik, bagi mengatasi kekurangan pakar dalam bidang terbabit.

Rayuan itu menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak termasuk Pemuda Umno dan alumninya, selain Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM yang melancarkan kempen bantahan pembukaan universiti tersebut kepada golongan bukan Bumiputera.

Ibrahim berkata, sekiranya UiTM tidak mahu membabitkan iCeps, universiti itu boleh mengadakan kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) dan Universiti Malaya (UM), bagi memastikan pegawai perubatan bidang pembedahan kardiotorasik menerima pengiktirafan ditetapkan Malaysia.

“Bagi memastikan program ini dapat dijalankan di luar UiTM di bawah satu badan yang akan mudah mendapat pengiktirafan MQA, MMC dan KPT serta dilaksanakan segera, saya mencadangkan kerjasama antara UiTM, UM dan IJN menubuhkan satu pusat di IJN untuk mewujudkan program parallel pathway dalam bidang pembedahan kardiotorasik.

“Dari segi pengurusan dan tenaga kepakarannya dari UiTM dan UM, sebab IJN pun ia ada IJN College, jadi ini cadangan yang saya rasa boleh dilaksanakan bagi menyelesaikan isu,” katanya.

Ibrahim turut berkata, sekiranya UiTM tidak mahu membabitkan iCeps, universiti itu boleh mengadakan kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) dan Universiti Malaya (UM), bagi memastikan pegawai perubatan bidang pembedahan kardiotorasik menerima pengiktirafan ditetapkan Malaysia – Alif Omar/Scoop, 30 Mei, 2024

Hakikatnya Ibrahim yang juga bekas Naib Canselor UiTM berkata, tiada masalah sepatutnya wujud untuk universiti berkenaan membenarkan ia dibuka sementara kepada golongan terbabit, bagi melaksanakan program parallel pathway dalam pembedahan kardiotorasik, memandangkan sememangnya terdapat beberapa peratus pelajar asing bukan Bumiputera ketika ini.

“Tapi saya faham sebab hujah mereka mengenai keberadaan pelajar asing bukan Bumiputera ini adalah yang pertama, ia untuk memberi peluang kepada golongan itu dari negara luar apabila kerajaan memulakan polisi pengantarabangsaan dan kedudukan universiti,” katanya.

Ibrahim berkata, apabila kerajaan mengumumkan polisi berkenaan, semua universiti mengambil pelajar asing dan UiTM mematuhi arahan berkenaan walau ia bukan kehendak pengurusannya.

Menurutnya, UiTM juga mengambil kesempatan menerima arahan itu kerana memikirkan dengan adanya pelajar antarabangsa, ia membantu mahasiswa tempatannya memahami perhubungan dari segi peringkat antarabangsa.

Tegasnya, kerajaan harus mencari pendekatan paling baik dan sesuai berhubung polemik membelenggu UiTM itu kerana sekiranya terus mengatakan tidak boleh dibuka kepada tujuh pegawai perubatan berkenaan bagi mendapatkan pengiktirafan sijil mereka, ia memberi bahaya cukup besar kepada negara.

“Jika Kabinet kata jangan buka, Menteri Kesihatan akan meneruskan pindaan akta di Parlimen untuk ‘menghalalkan’ program parallel pathway, program ini tidak sah, tidak diiktiraf, tidak diakreditasi MQA, MMC dan KPT, memang tidak sah macam mana kita nak halalkan.

“Kita kena mewajibkan pengiktirafan ini untuk menjaga kualiti kepakaran itu serta kualiti servis kepada rakyat dan negara,” katanya. – 30 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related