SPRM beri Mirzan dan Mokhzani tempoh lanjutan isytihar harta

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun tidak mendedahkan tempoh lanjutan kepada dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu

3:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setuju membenarkan tempoh lanjutan pengisytiharan harta kepada anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun tidak mendedahkan tempoh lanjutan kepada ahli perniagaan, Mirzan dan Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Jelasnya, peguam kepada Mirzan dan Mokhzani telah berhubung dengan pengawai penyiasat SPRM mengenai tempoh pengisytiharan terbabit.

“Kita telah tetapkan tempoh tarikh mereka mula kena isytiharkan harta mereka, jadi kita sudah capai persetujuan dalam perkara itu,” katanya yang dipetik dari Bernama selepas Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Minggu lalu, SPRM memaklumkan ia belum membuat keputusan mengenai permohonan ahli perniagaan Mirzan dan Mokhzani untuk melanjutkan tempoh perintah mengisytihar harta kali keempat.

Sumber SPRM memberitahu Scoop, setakat ini dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir itu belum mengemukakan sebarang dokumen pengisytiharan harta seperti dituntut di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Pada 26 Januari lalu, SPRM telah menyerahkan satu perintah notis kepada Mokhzani untuk beliau mengisytihar harta di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Siasatan turut dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sumber memberitahu, siasatan dilakukan SPRM terhadap ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai kaitan pegangan saham beliau dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mendapatkan projek kerajaan.

Mirzan juga disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Pada 27 April lalu, Mirzan dan Mokhzani dalam kenyataan bersama mahu SPRM menentukan ‘had’ tempoh paling penting yang ada kaitan dengan siasatan mereka, dalam perintah mengisytihar harta diperoleh selama 43 tahun ini. – 29 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related