KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kren maut selepas dipanah petir ketika sedang tidur dalam buaian di pondok rehat di hadapan rumahnya di Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar dekat Sungai Petani, Kedah, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa, Mohammad Shahrim Sheh Ali, 31, dikatakan tidur berseorangan di atas buaian semasa hujan lebat dan petir dalam kejadian pada jam 9.45 malam itu.
Menurut beliau, isteri mangsa bersama abang dan rakan-rakannya pada awalnya menyangka dia sedang tidur dan tidak mengejutkannya.
“Apabila isterinya keluar dan mengejutkannya, mangsa didapati tidak bergerak dan tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudiannya terus dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Azharuddin berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan terbakar pada kayu untuk menggantung buaian dan wayar elektrik terputus.
Katanya, hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar petang tadi turut mendapati terdapat kesan terbakar pada tubuh mangsa berpunca daripada panahan petir.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa berada dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai sebarang rekod penyakit kronik.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – 28 Mei, 2024