Maklumat SSM tunjuk pemberian kontrak suami Hannah tiada hubung kait KBS: Azam Baki

"Kalau lepas sebulan siasat, saya kata tiada kes, orang ramai mesti akan persoal… sebulan? Cepatnya (siasat). Jadi ahli politik ini jangkakan apa? Setahun untuk siasat? Apa jadi nanti dengan projek itu? "

5:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pemeriksaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati isu pemberian kontrak kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) tiada hubung kait dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Menterinya, Hannah Yeoh.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pemberian kontrak kepada syarikat milik bersama suami Hannah itu diberikan oleh kerajaan Selangor.

Susulan itu, katanya, sememangnya tidak ada sebarang kes untuk dibuka bagi siasatan lanjut berkait perkara itu.

“Setakat ini saya tidak melihat ada kes, saya boleh tunjuk maklumat dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menunjukkan tidak ada hubung kait dengan KBS atau (menterinya) Hannah Yeoh dan ini soal kerajaan negeri.

“Ada beberapa berita diberikan kepada kami sebelum ini, kita buat laporan, siasatan interim, periksa secara atas talian dengan SSM. Kita ada fasiliti dan jaringan rangkaian untuk menghubungi mana-mana agensi dalam negara, sangat mudah untuk kita periksa.

“Kita dah buat pemeriksaan dan siasatan, there is nothing (tiada apa), jadi apa yang anda hendak saya buat? Mahu saya panggil Hannah, suaminya atau syarikat itu bagi dirakam keterangan? Adakah itu yang anda mahu? Jika itu yang anda mahu, adakah itu adil buat mereka?,” katanya dalam sesi Executive Talk bersama Media Online di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab kritikan beberapa pemimpin politik termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi berhubung kenyataannya yang tidak melihat sebarang kesalahan undang-undang berhubung pemberian kontrak itu.

Mengulas lanjut, Azam berkata, apa pun terpulang kepada ahli politik terbabit untuk memberi ulasan mereka kerana Malaysia memberikan kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk meluahkan pandangan masing-masing.

“Kalau ahli politik itu kata ada kesalahan moral, itu terpulang kepada dia. Saya bukan ahli politik ataupun ahli motivasi umtuk bercakap soal moral. Mungkin ada yang tidak suka dengan kenyataan saya, mungkin ada yang sokong.

“Jadi apa faedah yang saya dapat dalam hal ini sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Saya bukan dapat kenaikan gaji pun daripada itu. Cuba fikir, projek itu untuk orang ramai di Selangor. Jadi kalau nak tunggu SPRM untuk siasat, untuk tempoh berapa lama?.

“Kalau lepas sebulan siasat, saya kata tiada kes, orang ramai mesti akan persoal… sebulan? Cepatnya (siasat). Jadi ahli politik ini jangkakan apa? Setahun untuk siasat? Apa jadi nanti dengan projek itu? Kerana itu saya perlu beri penekanan. Kalau kes macam ini, saya kena berterus-terang kami tidak melihat ada kes dalam perkara ini,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) itu, Azam berkata, beliau memahami apa yang dimaksudkan beliau.

“Saya faham apa yang Perdana Menteri maklumkan, apa yang dia nak kata adalah ia bukan arahan dia tapi terpulang kepada kami pihak berkuasa. Dan jika dia tanya kepada saya, saya akan beritahu tidak ada kes.

“Jika pihak berkuasa rasa ada keperluan untuk siasatan, kita akan siasat. Katakanlah ada petunjuk baharu yang menuntut siasatan dilakukan, saya akan arahkan siasatan dibuat,” katanya. -28 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Related