Serangan jantung, strok dan pembekuan darah tiada kaitan vaksin AstraZeneca: Dr Noor Hisham

Menurutnya, serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang masih berlaku berpunca daripada risiko lain seperti merokok, masalah kolesterol dan masalah kencing manis

3:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kes serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang masih lagi berlaku ketika ini tiada kaitan dengan vaksin AstraZeneca.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana tiada lagi program vaksinasi menggunakan vaksin tersebut dan ia juga tidak digunakan untuk dos penggalak.

Susulan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak risau kerana vaksinasi terakhir AstraZeneca telah berlalu bertahun lamanya dan kes mahkamah yang diuar-uarkan berlaku di United Kingdom (UK) sewaktu pandemik Covid-19.

“Kesan sampingan yang dikatakan berkait dengan vaksin AstraZeneca adalah kesan darah beku atau Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia (VITT ).

“Ia adalah penyakit di mana darah membeku bersama dengan sel darah kuning menjadi kurang. Perkara ini hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksinasi,” katanya dalam hantaran di platform X.

Menurutnya, serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang masih berlaku adalah disebabkan faktor risiko lain seperti merokok, masalah kolesterol, dan masalah kencing manis.

Justeru, beliau meminta orang ramai membezakan antara kesan samping VITT dengan masalah pembekuan darah yang lain.

“Kriteria diagnosa VITT mestilah ianya berlaku dalam sela masa empat minggu selepas vaksinasi dan perlu ada nilai platelet yang rendah.

“Diagnosa tidak boleh dibuat dengan mata kasar tanpa pemeriksaan dan pengesahan oleh pegawai perubatan.

“Kita perlu berhati-hati dengan analisa fakta dan salah tafsir yang akan menyebabkan kekusutan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) ketika pandemik Covid-19 ada menerima laporan bahawa VITT tersebut boleh berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu selepas vaksinasi.

Namun katanya, vaksin AstraZeneca masih perlu digunakan untuk program vaksinasi kerana kadar kematian akibat Covid-19 dalam kalangan masyarakat yang tidak divaksin amat tinggi, dan ketika itu stok vaksin tidak mencukupi.

“Golongan berisiko tinggi adalah golongan yang pernah mempunyai sejarah pembekuan darah sebelum ini. Mereka tidak dibenarkan menerima vaksin jenis AstraZeneca.

“KKM juga mengeluarkan garis panduan bagi menyaring golongan berisiko tinggi bagi tidak menerima vaksin jenis ini, dan juga bagi pengesanan awal sekiranya kesan sampingan ini berlaku AEFI,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, selain langkah berjaga-jaga, insiden kesan samping VITT juga sangat rendah iaitu empat kes berlaku dalam satu setiap juta suntikan.

Malah katanya, jika dibandingkan dengan risiko darah beku dan platelet rendah selepas jangkitan Covid-19 itu sendiri, ia lebih selamat.

“Selepas jangkitan Covid-19, risiko kesan darah beku daripada jangkitan TT ini adalah setinggi 165,000 kes dalam satu juta jangkitan.

“Insiden darah beku dalam kalangan perokok pula adalah lebih tinggi iaitu hampir 1800 kes dalam satu juta perokok. Tiada lagi kes VITT dikesan dan dilaporkan kini,” katanya. – 28 Mei, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related