Kerjasama akar umbi Umno, PAS masih kuat untuk ‘hidupkan’ semula Muafakat Nasional

Ramai akar umbi Umno dan PAS mengharapkan Muafakat Nasional dapat dihidupkan kembali, namun kehadiran Bersatu dilihat sebagai halangan utama kerjasama itu

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pembentukan Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno belum ‘terkubur’ kerana masih ada sokongan dan kerjasama kuat di peringkat akar umbi.

Bercakap kepada Scoop, bekas Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Mohd Asri Mat Daud berkata, beliau yakin persefahaman antara PAS dan Umno dalam menghidupkan kembali MN mampu direalisasikan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Biarpun ada pemimpin di pihak sana kata kerjasama MN ini dah ‘mati’, tapi boleh dihidupkan… kita tidak melihat MN ini sudah terkubur.

“Akar umbi Umno dan PAS, mereka lebih suka bermuafakat, memang rata-rata kalau pergi ke akar umbi, saya rasa pimpinan atas pun tahu, mereka minta supaya MN dihidupkan kembali.

“Sebab itu daripada suara akar umbi ini kita berkeyakinan (boleh dihidupkan kembali MN). Akar umbi ini ramai, mereka boleh suarakan kepada pemimpin atas demi kepentingan Melayu dan Islam,” katanya.

Ditanya mengenai kegagalan PAS meninggalkan Bersatu sebagai punca runtuhnya kerjasama dalam MN, Mohd Asri berkata, kepimpinan PAS sudah membuat kenyataan jelas bahawa tindakan meninggalkan kawan hanya kerana desakan sesetengah kawan lain.

Bekas Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Mohd Asri Mat Daud yakin persefahaman antara PAS dan Umno dalam menghidupkan kembali Muafakat Nasional mampu direalisasikan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16. – Gambar Facebook Asri Mat Daud, 28 Mei, 2024

“Maksudnya PAS menghormati semua, sama ada Umno atau Bersatu, nak tinggalkan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), mereka juga parti Melayu dan Islam begitu juga Umno.

“Jadi kalau tidak setuju dalam beberapa hal, boleh buat perbincangan bersama, bukan tinggal mereka. Itu bukan ‘setia kawan’, sebab itu mereka (Umno) keluar MN, kerana prinsip inilah.

“Tapi kita masih bertegas, panggil dan jemput untuk berbincang tanpa putus asa. Maknanya PAS tidak bermusuh pun dengan Umno,” katanya.

Tegasnya, sokongan akar umbi agar suara memperjuangkan Islam dan Melayu itu diteruskan bermakna PAS berusaha sehingga ke meja perbincangan untuk menghidupkan semula MN.

Sebelum ini, Ketua Umno Sungai Petani, Datuk Shahanim Yusoff berkata, Umno tidak menolak untuk ‘rujuk’ dengan PAS menerusi MN asalkan jawatan Perdana Menteri diberikan kepada parti berkenaan.

Malah Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin sebelum ini berkata, beliau yakin kerjasama antara parti itu dan Umno masih boleh dihidupkan semula melalui MN.

Pada 14 September, 2019, Muafakat Nasional dibentuk susulan Himpunan Penyatuan Ummah. – Gambar Bernama, 28 Mei, 2024

Pada 16 Mac lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak cadangan untuk menghidupkan semula MN, sebaliknya mahu fokus membentuk kerjasama dengan parti Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, rakyat boleh menilai sendiri apa yang sedang berlaku dan biarlah politik itu berdasarkan kepada sistem demokrasi dengan menggunakan nilai-nilai Islam sebagai keutamaan.

Untuk rekod, MN adalah kerjasama politik antara Umno dan PAS yang dibentuk pada 14 September 2019 susulan Himpunan Penyatuan Ummah. – 28 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Fugitive preacher Zakir Naik defies Malaysia’s speech ban?

The Indian national preacher allegedly defied Malaysia’s speech ban with an address at the Perlis International Sunnah Convention 2025

Amirudin signals move to federal politics

The Selangor menteri besar is preparing for a move to the federal government by 2028, following an unwritten two-term limit for the state’s top post

Everyone makes mistakes: Hannah should forgive Razman, says PAS spiritual leader

Datuk Hashim Jasin says Youth and Sports Minister should let bygones be bygones over ‘YTL daughter’ gaffe

Related