Permohonan subsidi diesel Budi Madani RM200 sebulan dibuka esok

Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membuat permohonan itu di bawah kategori Budi Individu, manakala petani dan pekebun kecil pula Budi Agri-Komoditi

8:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Permohonan bagi Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) untuk pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi dibuka mulai esok.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penerima yang layak akan menerima Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Beliau berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membuat permohonan itu di bawah kategori Budi Individu, manakala petani dan pekebun kecil pula Budi Agri-Komoditi.

“Kriteria kelayakan Budi Individu membabitkan pemohon warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun, cukai jalan aktif serta pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 ke bawah.

“Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi.

“Selain itu, bagi kelayakan Budi Agri-Komoditi, pemohon mesti berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel yang hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

Katanya, keputusan itu tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak kerana penduduk di sana kebanyakannya menggunakan diesel untuk urusan seharian.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web: https://budimadani.gov.my/ yang akan dibuka sepanjang tahun.

“Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun, pemohon akan menerima Budi Madani pertama menjelang pertengahan Jun dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

“Bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun pula akan menerima Budi Madani pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.

“Ia akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntutnya secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, program tersebut melengkapi usaha sedia ada kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel melalui sistem MySubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. – Gambar Bernama, 27 Mei, 2024

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, program tersebut melengkapi usaha sedia ada kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel melalui sistem MySubsidi Diesel yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Tambahnya, setakat ini, hampir 90,000 ‘Fleet Card’ dikeluarkan kepada syarikat di bawah sektor pengangkutan awam dan barangan darat.

“Kad ini membolehkan syarikat logistik yang layak untuk membeli minyak diesel bersubsidi di stesen minyak bagi memastikan kesan kos minimum kepada rantaian nilai logistik serta bekalan dan secara langsung mengurangkan risiko kenaikan harga barangan.

“Dengan pelaksanaan ini, kerajaan telah memperluas bantuan tunai kepada individu, petani dan pekebun kecil komoditi menjelang pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” katanya. -27 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related