KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia harus diangkat sebagai sebuah negara yang hebat, bukan sahaja daripada segi cabaran menghadapi kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri berkata, ini kerana anak-anak harus dilatih dengan kemahiran dan kecekapan yang cukup baik untuk memasukkan dan memuatkan semua yang menyentuh soal nilai, agama, budaya dalam AI.
“Saya bertemu dua tokoh baru-baru ini termasuk Ketua Eksekutif Microsoft, dalam perbincangan saya tanya, bagaimana tentang isu nilai, kerana yang memberikan ruang dalam AI ini, dia bukan bebas nilai, tertakluk kepada apa yang dimasukkan, maklumat yang dimasukkan (dalam AI).
“Jadi jawabnya itu pintar dan baru-baru ini Microsoft jawab anak-anak kita yang mempunyai kemahiran dan kepakaran harus menentukan, masukkan apa yang perlu kerana jawapan AI itu tertakluk kepada apa yang dimuatkan dalam korpus ilmu, dia tak keluar daripada itu, kita masukkan, dia (AI) lontarkan daripada keseluruhan.
“Agak menarik, ini tokoh besar dunia dalam AI yang menyatakan kepada saya bahawa harus dilatih anak-anak dengan kemahiran dan kecekapan cukup baik untuk memasukkan semua yang menyentuh soal nilai, agama, budaya kita termasuk sambutan Gawai kita.
“Supaya AI itu akan memuntahkan atau menghasilkan karya-karya selari dengan maksud itu,” katanya ketika berucap merasmikan acara kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di Kuching, Sarawak, hari ini.

Justeru, Perdana Menteri berkata, wartawan pada masa kini mempunyai cabaran yang jauh lebih besar daripada generasi sebelumnya.
“Generasi sebelumnya berjasa besar kerana di antara perjuangan kebangsaan paling berkesan adalah media, itu tidak boleh dimungkiri kenyataan itu
“Sekarang ini dalam cabaran untuk mengangkat martabat dan membina manusia baharu, jadi saya lontarkan semua ini kerana saudara (media) yang boleh jadi penyelesaian, saya bukan media,” katanya.
Dalam pada itu Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Kasih@Hawana bagi tahun 2025 di mana ia memainkan peranan membantu pengamal media yang ditimpa kesusahan.
Tabung Kasih@Hawana yang diwujudkan bersempena dengan sambutan Hawana 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media yang masih dalam perkhidmatan atau telah bersara selain mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan. -27 Mei, 2024