KUALA LUMPUR — Rombakan kepimpinan PKR di tujuh negeri baru-baru ini dibuat bagi membolehkan pemimpinnya menumpukan perhatian kepada tanggungjawab sebagai menteri.
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan berdasarkan keputusan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertujuan untuk melantik pemimpin tempatan untuk menerajui setiap negeri.
“Rasionalnya (di sebalik rombakan) agak mudah. Pelantikan pemimpin negeri dibuat selepas pemilihan parti dan menjelang pilihan raya umum.
“Keputusan Presiden ketika itu ialah negeri-negeri diketuai oleh timbalan dan naib presiden parti.
“Tetapi sekarang, kami adalah kerajaan… (peranan) semakin berat. Jadi, Perdana Menteri (Anwar) cakap kembali kepada amalan biasa yang mana (negeri-negeri) dipimpin oleh pemimpin tempatan,” katanya selepas majlis peluncuran instrument Forest Conservation Certificate (FCC) di sini, hari ini.
Nik Nazmi, yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menegaskan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang juga mempunyai peranan penting sebagai menteri.
Nik Nazmi sebelum ini menerajui Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan dan Terengganu dan digantikan oleh Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor dan Ahmad Nazri Yusof di negeri tersebut.
“Akhirnya, saya tidak bertanding di Kelantan atau Terengganu, begitu juga dengan (pemimpin lain). Ada perkara (dalam skala nasional) yang kita kena fokus.
“Ia adalah satu rombakan biasa untuk membolehkan parti memberi tumpuan dan membenarkan pemimpin baharu muncul,” katanya.
Semalam, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil mengumumkan rombakan kepimpinan di tujuh negeri.
Selain Nik Nazmi, Rafizi turut dilepaskan daripada peranannya di Wilayah Persekutuan dan Johor, dengan Datuk Azman Abidin dan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh masing-masing mengambil peranan tersebut.
Selain itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari digantikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh untuk memimpin MPN Pahang.
Bulan lalu, Nik Nazmi berkata, PKR akan merombak kepimpinan bahagian negerinya dan Anwar sudah membuat keputusan mengenai rombakan di Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor. — 27 Mei, 2024