KUALA LUMPUR ā Pahang Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah memfailkan afidavit bagi menyokong semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani tahanan dalam rumah.
Sama seperti afidavit yang difailkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada April lalu, Wan Rosdy berkata beliau mengetahui mengenai Titah Adendum berkaitan tahanan dalam rumah daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Tengku Zafrul memberitahu Wan Rosdy mengenai Titah Adendum bertarikh 29 Januari, apabila mereka berjumpa di rumah Zahid di Country Heights 30 Januari lalu.
āTengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memberitahu bahawa ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI telah pun keluarkan keputusan permohonan pengampunan (keputusan pertama) iaitu mengurangkan perintah penjara sebanyak 50% dan hukuman denda pula kepada RM50 juta sahaja.
āKedua, dengan terbit keputusan pertama, ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI telah mengeluarkan satu lagi perintah (perintah adendum) yang memerintahkan supaya pemohon menjalani dengan serta-merta hukuman penjaranya di dalam keadaan di rumah kediaman pemohon dan bukan di mana-mana penjara,āā kata Wan Rosdy dalam afidavit sokongan yang telah dikongsi kepada media.
Ia difailkan pada 21 Mei di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Wan Rosdy, yang juga Naib Presiden Umno berkata, beliau menghadiri pertemuan dengan pemimpin Umno lain di rumah Zahid di Country Heights pada malam 30 Januari, di mana beliau membangkitkan mengenai Titah Adendum.
Pemimpin Umno lain yang dinamakan oleh Wan Rosdy ialah Datuk Seri Johari Ghani, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Azalina Othman Said.
āSaya tidak mempunyai salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari, 2024 atas alasan kerahsiaan dan kewajaran,āā kata Wan Rosdy.
Dalam afidavit sokongan tersebut, Menteri Besar Pahang itu turut menamakan tujuh responden yang lain antaranya Kerajaan Persekutuan, Menteri Dalam Negeri, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Afidavit Wan Rosdy bagaimanapun menerima bantahan daripada Pejabat Peguam Negara (ACG) untuk memasukkannya ke dalam prosiding Najib.
Menerusi surat bertarikh 23 Mei kepada timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ACG berkata, afidavit sokongan itu difailkan āsangat lewatā dalam prosiding semakan kehakiman.
Najib, 70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April menerusi Tetuan Shafee & Co.
Dalam permohonan itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah supaya semua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari lalu.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. ā 27 Mei, 2024