Tiada masalah kontrak diberikan kepada Asia Mobiliti: SPRM

Berdasarkan undang-undang, tiada kesalahan jika seseorang itu menerima kontrak atau apa-apa faedah daripada agensi atau entiti yang tidak berkait dengan mereka

12:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai isu dengan pemberian kontrak kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti), iaitu syarikat yang dikaitkan dengan suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata ini kerana kontrak itu diberikan oleh Kerajaan negeri Selangor, bukannya Kementerian Belia dan Sukan.

“Kita melihat dari segi undang-undang apabila seseorang itu mendapat kontrak atau manfaat daripada mana-mana entiti kerajaan, tetapi yang mendapat (kontrak) itu tiada kena mengena dengan tugas dan tanggungjawab (pihak yang dibangkitkan)… itu bukan kesalahan.

“Contohnya seperti yang dilaporkan media mengenai suami Hannah Yeoh yang mendapat kontrak daripada Selangor dan menteri itu tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

“Tetapi ia berlainan sekiranya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan,’’ katanya selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia di sini hari ini.

Pada Khamis, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han memaklumkan pelantikan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) sebagai salah satu syarikat pengendali perkhidmatan projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) Selangor Mobolity telah diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) pada 22 Disember 2022.

Ia bagi penyertaan Asia Mobiliti dalam proses pengujian Proof of Concept (POC) perkhidmatan Bus On Demand manakala penyertaan Badan Bas Coach Sdn Bhd (Badan Bas) diluluskan pada 24 Februari tahun lalu.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai pelantikan Asia Mobiliti yang didakwa ada kaitan dengan suami kepada seorang menteri. CEO Asia Mobiliti adalah Ramachandran Muniandy, iaitu suami Hannah.

Ia dibangkitkan akaun Aduan Rakyat di laman X mempersoal mengenai pelantikan Asia Mobiliti dalam projek DRT di Selangor dan mendakwa syarikat itu dimiliki suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Aduan Rakyat turut mempersoal sama ada pelantikan syarikat itu dilakukan sebagai tender terbuka. – 27 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related