KUALA LUMPUR – Negara boleh bangkit kerana semangat perpaduan serta boleh hancur disebabkan perpecahan dan fahaman perkauman.
Itu peringatan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta generasi muda, melaksanakan tanggungjawab untuk mempertahankan dan menyelamatkan perpaduan dimiliki negara.
“Saudara (anak muda) kena selamatkan negara ini, bapa-bapa kita sudah berjasa kerana usaha mereka menyatukan pelbagai kaum, mula di Tanah Melayu kemudian Malaysia, (ada) pelbagai suku kaum Sabah dan Sarawak…itu jasa mereka.
“Tanggungjawab anak muda, generasi muda, jangan anggap perkara ini satu ketentuan yang meremehkan…belajarlah dari sejarah…ini kekuatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan di Johor Bahru malam ini.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Anwar berkata, Malaysia adalah negara hebat kerana memiliki kepelbagaian kaum yang boleh menjadi kekuatan, tetapi sekiranya tidak dipelihara ia berisiko mencetuskan unsur memecah belah dan merosakkan.
“Tapi ada keadaan di dunia, Rwanda pecah belah, hancur satu juta orang dibunuh kerana perbezaan suku kaum dulu, Bosnia, antara kaum, penganut agama dihasut, dia bawa kaum aku lebih gagah, harus diperkasakan, kaum kamu bodoh, kaum kamu tidak bertamadun, bergaduh, berpecah belah, hampir hancur negara, baru hidup semula dari satu negara, jadi tiga.
“Kerana tarikan fahaman perkauman, tarikan fahaman keagaman yang sempit, bukan membawa rahmah, (sebaliknya) memecah belah menanam kebencian.
“Atau tarikan dari segi wilayah dan kawasan serta kenegerian keterlaluan sehingga menyebabkan negeri aku paling hebat, benci negeri lain,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, semua kaum perlu saling hormat menghormati sesama insan.
Ujarnya, menghormati adalah elemen lebih kuat daripada toleransi, mengenali dan menghargai satu sama lain.
Menerusi elemen itu, katanya, ia membolehkan insan mengiktiraf perbezaan sebagai sumber kekuatan
“Ini kerana perbezaan yang dinilai oleh tuhan itu, bukan warna kulit, bukan rupa paras, bukan pangkat dan keturunan, bukan kekayaan.
“Sebaliknya kemuliaan dirinya, keyakinannya, nilai dan moral serta akhlaknya…ini yang ditentukan,” katanya. – 25 Mei, 2024