Hawana 2024 landasan tepat erat hubungan media rantau Asean

Selain Malaysia, negara Asean lain terlibat dalam Hawana 2024 adalah Brunei, Indonesia, Filipina, Kemboja, Vietnam, selain wakil Timor Leste, Qatar, Kuwait, Jepun, China serta Korea

12:34 PM MYT

 

KUCHING – Penganjuran Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di Sarawak menjadi landasan tepat untuk mempersiapkan pengamal media tempatan seterusnya memperkukuh hubungan dengan rakan rantau Asia Tenggara bersesuaian dengan pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi Asean tahun depan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Hawana kali ini merupakan platform utama bagi wartawan Asean yang hadir untuk saling mengupas isu-isu berkaitan sekali gus mempersiapkan negara agar memainkan peranan yang berkesan sebagai pengerusi Asean2025 nanti.

“Kalau kita nak bercakap tentang Asean perlu ada media yang bercakap tentang Asean, jadi kita kena lebih saling memahami dan interaksi dengan lebih baik antara pengamal media kerana itu akan bantu kita untuk menceritakan masa depan yang cerah untuk negara rantau ini.

“Tahun depan merupakan tahun yang penting bukan hanya kepada Hawana tetapi juga Malaysia, (jadi) harapan saya pengalaman kita di (Hawana) Sarawak akan memberi banyak pembelajaran yang baik supaya kita boleh jadi tuan rumah yang baik untuk Asean serta menyediakan program Hawana yang lebih gah,” katanya dalam temu bual khas sempena Hawana 2024 di sini malam tadi.

Hawana 2024 yang mengangkat tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ berlangsung tiga hari bermula hari ini di sini.

Mengambil inspirasi penubuhan Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia (Ismawi) yang menjadi forum bagi kedua-dua negara saling bertukar nilai kewartawanan, Fahmi berkata kerjasama antara organisasi media melibatkan negara Asean perlu dipertingkatkan termasuk menerusi penganjuran Hawana.

“Kerjasama dengan persatuan wartawan setiap negeri juga diperlukan bukan hanya di Kuala Lumpur, contohnya kalau rakan media di Sabah dan Sarawak semestinya hubungan mereka lebih erat dengan persatuan wartawan di Brunei serta Kalimantan, Indonesia.

“Itulah sebabnya untuk Hawana tahun ini saya minta jemput wartawan dan media dari pelbagai negara Asean dan difahamkan ada enam negara Asean yang terlibat (termasuk Malaysia), ini satu permulaan yang baik,” katanya.

Selain Malaysia, negara Asean lain terlibat dalam Hawana 2024 adalah Brunei, Indonesia, Filipina, Kemboja dan Vietnam.

Turut serta wakil dari Timor Leste. Qatar, Kuwait, Jepun, China serta Korea.

Pelbagai program dirangka antaranya Jelajah Hawana 2024 Bersama Siswa yang dirasmikan oleh Fahmi di Pustaka Negeri di sini pagi ini, selain Pameran Hawana 2024 di Atrium Utama Plaza Merdeka selama tiga hari yang turut bermula hari ini.

Sebanyak 20 reruai pameran pelbagai agensi mempamerkan perkhidmatan mereka, selain memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pelbagai maklumat serta menyertai bermacam aktiviti yang disediakan.

Turut mengisi Hawana ialah Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital’ yang berlangsung dua hari bermula esok dan akan dirasmikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bagi mengenali keunikan budaya serta pembangunan terkini Bumi Kenyalang dengan lebih dekat, peserta Hawana akan dibawa melawat lokasi ikonik di sekitar bandar raya ini antaranya Muzium Budaya Borneo, Jambatan Darul Hana, dan Dataran Ibu Pertiwi menerusi program “Juh Raon” atau “jom bersiar-siar” dalam bahasa Melayu Sarawak, pada esok.

Pada esok juga, peserta sambutan Hawana 2024 akan diraikan oleh Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Majlis Makan Malam.

Hawana tahun ini adalah penganjuran edisi keempat selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, Melaka (2022) serta Perak (2023) dan tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bertujuan meraikan sumbangan pengamal media. – 25 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Cops to call up 13 varsity students who joined Jan 25 anti-graft rally

Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia rep says this includes three from Sabah who would have to fly to KL; summoned rallygoers may meet police together on Sunday to receive notice

Related