KUALA LUMPUR — Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan Forex GHC dan mata wang kripto yang dikenali Geng Wong susulan tangkapan 10 individu dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM51.2 juta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, turut ditahan adalah dalang sindiket berusia 43 tahun dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang pada 13 hingga 21 Mei lalu.
“Seramai 10 individu warga tempatan terdiri lapan lelaki dan dua wanita berusia antara 28 hingga 51 tahun ditahan kerana disyaki terbabit sindiket itu.
“Mereka direman selama tiga hingga tujuh hari bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001,” katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini hari ini.
Beliau berkata, turut disita semasa serbuan adalah 129 keping geran kenderaan dengan nombor pendaftaran eksklusif bernilai RM18 juta, 75 utas jam tangan pelbagai jenama bernilai RM10 juta.
“18 kenderaan mewah pelbagai jenama bernilai RM8 juta, wang tunai RM503,001, 203 motosikal berjumlah RM406,000 dan 10 beg tangan pelbagai berjenama bernilai RM90,000.
“Selain itu, kita turut menyita wang tunai dalam bentuk mata wang asing iaitu 320,000 Yen, 3,940 Baht, 455 Turkiye, 290 Yuan, 305 USD, 27,000 Won, 200 SGD, 200 AUD, 10 buku cek, 12 unit telefon bimbit dan peralatan komputer, ” katanya.
Razarudin berkata, sindiket penipuan pelaburan yang berpangkalan di sebuah negara Asia itu disyaki mula beroperasi sekitar 2017.
“Siasatan mendapati sindiket ini memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram dari negara asing berkenaan ke Malaysia menggunakan pengurup wang tidak berdaftar serta transaksi mata wang kripto.
“Sindiket ini menjalankan kegiatan wang haram menggunakan kaedah seperti urusan jual beli nombor pendaftaran eksklusif dan klasik bernilai tinggi dan jual beli jam tangan berjenama mewah di kedai jam bertempat di Bukit Jalil.
“Selain itu, mereka juga melaburkan wang dalam perladangan buah durian seluas 100 ekar (40.4 hektar) dan menggunakan pengurup wang tidak berdaftar bagi menukarkan kripto kepada tunai sebagai modus operandi bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa undang-undang,” katanya.
Tambahnya, siasatan turut mendapati wang hasil aktiviti haram itu juga digunakan untuk membeli hartanah di dalam Malaysia.
“Kita juga masih lagi mengesan aktiviti pembelian hartanah berkenaan,” katanya. – 24 Mei, 2024