Pelik, 300 jemaah terkandas di Makkah langsung tak hubungi TH: Menteri Agama

Arab Saudi umum penguatkuasaan penalti 10,000 riyal individu memasuki tujuh kawasan larangan tanpa permit termasuk Makkah

4:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Masih tiada khabar berita.

Demikian dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar kepada Scoop ketika ditanya mengenai perkembangan semasa nasib 300 bakal jemaah haji yang dilapor terkandas di Makkah, baru-baru ini.

Ini susulan mereka dikatakan terpedaya dengan pakej murah mengerjakan ibadah itu yang ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.

Menurut Mohd Na’im, sepatutnya jemaah berkenaan menghubungi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mendapatkan bantuan sewajarnya memandangkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sudah menangguhkan pemberian visa umrah sekali gus melarang semua kategori pemegang visa pelancong daripada memasuki Makkah.

“Itulah saya pun rasa pelik, masih tiada berita. Setakat ini memang tiada yang menghubungi TH di sana (Arab Saudi).

“Kalau masih berada di Makkah dengan visa umrah, mereka berisiko didenda 10,000 riyal (RM12,500). Takkan sampai dah kena denda, dah kena tangkap (oleh pihak berkuasa Arab Saudi) baru nak hubungi TH?” Soalnya.

Untuk itu beliau menggesa jemaah berkenaan menghubungi TH atau Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi mengelak ditangkap dan seterusnya didenda.

Hari ini Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan untuk menangguhkan pemberian visa umrah bagi melancarkan persediaan musim haji sehingga 21 Jun ini.

Kementerian itu turut menegaskan hanya pemegang visa haji yang dibenarkan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu, serta mengingatkan mengenai pelaksanaan hukuman berat terhadap individu yang ditahan kerana berada di tujuh kawasan yang dikhususkan untuk jemaah haji secara tidak sah.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengumumkan penguatkuasaan penalti 10,000 riyal terhadap individu yang memasuki tujuh kawasan larangan tanpa permit haji iaitu Makkah, Wilayah Tengah, Masyair, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara.

Dalam kenyataan sebelum ini, Mohd Na’im berkata, TH diarah menyiasat insiden 300 bakal jemaah terkandas di Makkah ketika ini.

Malah beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam di negara ini, supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah ditawarkan segelintir agensi pelancongan tidak dilesenkan kerajaan.

Terdahulu, kira-kira 300 bakal jemaah haji yang berada di Makkah, dilapor terkandas apabila agensi yang mengurus perjalanan kumpulan itu, gagal mendapatkan kebenaran untuk mereka mengerjakan ibadah berkenaan pada musim ini.

Kumpulan itu menyedari mereka diperdaya selepas mendapati pakej murah ditawarkan agensi terbabit, menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu. – 23 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related