UiTM wajib pertahan Perkara 153, tetapi tidak salah ‘buka sementara’ untuk 7 doktor kardiotorasik bukan Bumiputera

Isu kemasukan ke UiTM bagi latihan kepakaran membabitkan tujuh doktor itu juga, tidak seharusnya dipolitikkan

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – “Saya tetap pertahan sampai mati Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung kemasukan pelajar Melayu dan Bumiputera ke UiTM, malah tidak akan berganjak daripada pendirian ini.”

Itu tegas bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ibrahim Abu Shah mengenai polemik gesaan segelintir pihak supaya ‘pintu masuk’ universiti awam (UA) itu dibuka kepada bukan Bumiputera.

Bercakap kepada Scoop, beliau bagaimanapun menegaskan, sokongan diberikannya berhubung cadangan supaya UiTM memberi peluang kepada bukan Bumiputera mengenai perkara itu, hanya bersifat sementara, khusus membabitkan isu tujuh pegawai perubatan menyambung pengajian ke program latihan ijazah lanjutan kepakaran (parallel pathway) dalam bidang pembedahan kardiotorasik.

“UiTM adalah satu-satu universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotorasik (pembedahan dan jagarawatan bagi penyakit jantung dan paru-paru).

“Bila saya mencadangkan itu, saya tidaklah langsung terfikir ataupun bimbang bahawa UiTM akan dibuka kepada bukan Melayu, sebab program kardiotorasik ini kita (UiTM) sahaja institusi yang ada kemudahan itu, universiti lain tak ada, kita mempunyai profesor (bidang perubatan ini) paling ramai, cukup kuat dan tahap tertinggi.

“Apa salah kita share (kongsi) apa kita ada buat sementara waktu, tak akan kita nak biarkan mereka terkontang-kanting, kita biarkan walau kita tahu sijil program perubatan dimiliki mereka dari luar negara, tidak sah dan tidak diiktiraf di Malaysia oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC),” katanya ketika dihubungi.

Isu kemasukan ke UiTM bagi latihan kepakaran membabitkan tujuh doktor itu juga dilihat secara terlalu emosi, sehingga tidak memikirkan kepentingan negara, orang awam dan masa depan doktor berkenaan. – Gambar fail Scoop, 23 Mei, 2024

Ibrahim berkata, isu kemasukan ke UiTM bagi latihan kepakaran membabitkan tujuh doktor itu juga, tidak seharusnya dipolitikkan.

Malah, perkara itu tidak dilihat secara terlalu emosi, sehingga tidak memikirkan kepentingan negara, orang awam dan masa depan doktor berkenaan.

Bekas Naib Canselor UiTM itu berkata, doktor itu hanya perlu mengikuti latihan kepakaran dan pemindahan jam kredit mengikut kesesuaian program diikuti, sebelum ia disahkan serta diiktiraf mengikut keperluan ditetapkan MQA, MMC dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Program bidang pembedahan kardiotorasik ini hanya master (sarjana) sahaja, dia lebih bentuk kepada training (latihan) kepakaran sekejap sahaja dan mereka ini dah doktor perubatan pun, bukan dia nak ambil pengajian ijazah sarjana muda di UiTM, tidak begitu.

“Sediakan kemudahan kardiotorasik tu bukan senang, kita dah ada kepakaran, bantulah sekejap apa salah, esok Universiti Malaya (UM) dah ada, kita tengok balik macam mana, ini sementara.

“Mereka ini cuma nak mendapatkan sijil kepakaran sah, apa salah kita bantu, sementara, bila ada universiti lain buat nanti, tak perlu kira apa bangsa mereka pun sebagai rakyat Malaysia kita bantu,” katanya.

Perkara 153 ialah peruntukan mengenai jaminan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak, selain kepentingan sah kaum lain yang bergelar warganegara Malaysia.

UiTM sejak dahulu menegaskan, institusi berkenaan kekal berpegang kepada Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang hanya menerima kemasukan pelajar dalam kalangan Bumiputera sahaja.

Presiden MMA, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, sekiranya universiti itu boleh membuka pintunya kepada pelajar antarabangsa, tidak ada masalah untuk ia membenarkan rakyat Malaysia melanjutkan pengajian di institusi berkenaan, terutama bagi memenuhi keperluan mendesak pakar kardiotoraks – Gambar MMA, 23 Mei, 2024

Terdahulu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), merayu agar UiTM mengutamakan kepentingan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada pelajar bukan Bumiputera bagi mengatasi kekurangan pakar dalam bidang terbabit.

Presiden MMA, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, sekiranya universiti itu boleh membuka pintunya kepada pelajar antarabangsa, tidak ada masalah untuk ia membenarkan rakyat Malaysia melanjutkan pengajian di institusi berkenaan, terutama bagi memenuhi keperluan mendesak pakar kardiotoraks.

Rayuan itu menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak, termasuk alumninya, selain Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM yang melancarkan kempen bantahan pembukaan universiti tersebut kepada golongan bukan Bumiputera.

Menerusi kempen itu, MPP menggesa semua pelajar agar memakai pakaian berwarna hitam pada 16 Mei lalu.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Shahrin Sahib berkata, dasar pengambilan pelajar sedia ada universiti itu, adalah kekal dan tiada perbincangan di Senat mahupun Mesyuarat Eksekutif Universiti untuk membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera.

Tegasnya, UiTM berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 yang menyatakan ia ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Manakala, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menegaskan, isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera di UiTM tidak dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat di peringkat Kementerian, mahupun Kabinet.

Ujarnya, isu terbabit nyata sengaja dijadikan polemik dan dimainkan pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM. – 23 Mei, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Related